ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian runtuhan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian runtuhan. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hujan lebat yang berterusan mengakibatkan jalan utama menghubungkan daerah Penampang - Tambunan terputus akibat runtuhan di Kilometer 52.35, di sini, malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, kejadian runtuhan jalan berhampiran Air Terjun Masakob itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati jalan berkenaan terputus sepanjang 30 meter selepas mendap dipercayai akibat hujan lebat berterusan.

"Laluan berkenaan dipercayai runtuh sepenuhnya sehingga tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan dan kini dikategorikan sebagai merbahaya.

"Bagi pengguna jalan yang menghubungkan dua daerah ini boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Ranau-Tambunan melalui Jalan Kimanis - Keningau," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Farhan berkata, pihaknya juga sudah memasang sawar-sawar sebagai amaran kepada pengguna jalan supaya tidak melalui jalan berkenaan.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kenderaan yang berlaku di lokasi kejadian.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya terima panggilan kecemasan di lokasi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 10:11 PM