GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Dua perkampungan Orang Asli di Pahang menjadi lokasi terbaharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula esok.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, kampung berkenaan ialah Kampung Orang Asli Sungai Koi, Hulu Cheka, Jerantut dan Kampung Orang Asli Ulu Pareh di Bentong.

Menurutnya, PKPD di dua lokaliti berkenaan akan dilaksanakan sehingga 3 Oktober ini.

"Semua prosedur operasi standard (SOP) PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rodzi berkata, PKPD di Taman Pantai Lok Kawi di Papar, Sabah akan dilanjutkan bermula Selasa ini sehingga 4 Oktober depan.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas meneliti analisa yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai trend dan risiko jangkitan Covid-19 di lokaliti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, PKPD di satu lokaliti di Johor dan empat di Sabah ditamatkan esok.

Beliau berkata, PKPD ditamatkan di Kampung Nelayan Benut, Pontian; Kampung Buang Matunggong di Kudat; Kampung Telabuan di Beluran; Kampung Magatang di Keningau dan Kampung Kilanas di Ranau.

"Penamatan PKPD di lokaliti berkenaan dibuat selepas meneliti pembentangan dibuat KKM mengenai situasi semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 6:51 PM