Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 1,665 kekosongan pelbagai jawatan dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara akan diisi sepenuhnya dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, jabatan berkenaan masih kekurangan anggota kerana proses pengambilan kakitangan sedikit perlahan ketika ini akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, pengisian kekosongan itu adalah penting dalam usaha memastikan perkhidmatan jabatan itu berada pada tahap optimum.

Katanya, kekosongan jawatan itu membabitkan pengurusan tertinggi dan profesional serta kumpulan pelaksana.

"Ia perlu diisi dengan segera kerana JBPM adalah satu perkhidmatan penting. Setakat ini, terdapat 55 kekosongan daripada 490 perjawatan bagi pengurusan tertinggi dan profesional, manakala sebanyak 1,610 kekosongan daripada 14,026 perjawatan membabitkan kumpulan pelaksana.

"Kita akan mencari jalan bagi mengisi kekosongan kerana tidak mahu perkhidmatan tergendala atau terencat kerana kekurangan kakitangan," katanya ketika melakukan lawatan kerja rasmi di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor hari ini.

Dr Ismail (dua dari kanan) menyerahkan Kad Harta Modal Bot Fiber kepada 3 buah balai disaksikan Pengarah JBPM Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Omran Omar (kiri). FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Dr Ismail (dua dari kanan) menyerahkan Kad Harta Modal Bot Fiber kepada 3 buah balai disaksikan Pengarah JBPM Negeri Johor, Datuk Yahaya Madis (kanan) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Omran Omar (kiri). FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Hadir sama, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya berharap pengisian kekosongan jawatan di JBPM mampu meningkatkan tempoh masa bertindak (respons time) ke tahap antarabangsa.

Ismail berkata, pihaknya juga mensasarkan kira-kira 30 peratus perjawatan di JBPM diisi oleh golongan wanita kerana terdapat bidang kerja yang memerlukan kelebihan dimiliki mereka.

"Memang matlamat kita untuk memastikan 30 peratus anggota terdiri daripada kaum wanita kerana ada tugas tertentu yang memerlukan kepakaran mereka.

"Misalnya apabila berlaku kejadian yang menyebabkan mangsa berdepan tekanan psikologi, keperibadian dan personaliti anggota wanita boleh membantu menenangkan mangsa.

"Kita akan lihat di mana tempat kelebihan mereka itu diperlukan dan mereka akan bertugas di samping anggota lelaki. Namun buat masa ini sasaran itu masih belum dicapai," katanya.

Sementara itu, Yahaya berkata, terdapat sebanyak 174 kekosongan pelbagai jawatan di peringkat negeri.

"Kekosongan ini turut membabitkan anggota yang memikul tanggungjawab selaku ketua balai dan penolong ketua balai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 2:03 PM