POLIS membuka kertas siasatan susulan tular video sambutan hari jadi di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini, yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). FOTO IHSAN PDRM
POLIS membuka kertas siasatan susulan tular video sambutan hari jadi di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini, yang melanggar prosedur operasi standard (SOP). FOTO IHSAN PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai empat individu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membantu siasatan susulan tular video sambutan hari jadi di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, di sini, yang melanggar prosedur operasi standard.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, siasatan dijalankan selepas satu video berdurasi 1.01 minit tular semalam yang menunjukkan sekumpulan individu menyambut hari jadi di premis itu.

Menurutnya, hasil penelitian ke atas klip video itu mendapati aktiviti sosial yang diadakan menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

"Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 21a Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan 17 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

"Setakat ini seramai empat individu sudah dipanggil untuk membantu siasatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan akan diserahkan ke Pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 1:51 PM