MD Rawi Mahmud dan petugas Japerun Tanjung Bidara menyusun beras untuk diserahkan kepada penerima vaksin. FOTO Hassan Omar
MD Rawi Mahmud dan petugas Japerun Tanjung Bidara menyusun beras untuk diserahkan kepada penerima vaksin. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Penerima vaksin dos kedua pada program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) di sini, hari ini, turut menerima beras lima kilogram (kg).

Bagi bekas pekerja kilang yang kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Azura Abdullah, 23, meskipun sekadar beras lima kg, ia tetap rezeki yang dihargai.

"Alhamdulillah, walaupun cuma beras lima kg, saya bersyukur atas rezeki yang dikurniakan kerana sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban perbelanjaan harian.

"Sejak diberhentikan kerja pada Jun lalu, saya masih belum bekerja sedangkan ayah sudah uzur dan ibu mencari rezeki sebagai tukang cuci," katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima beras dan suntikan di Dewan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dun (Japerun) Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Pada program Movak anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Japerun itu, seramai 2,000 penerima vaksin diberikan beras oleh Japerun dengan had 500 kampit untuk 500 penerima vaksin pada Khamis lalu hingga hari ini.

Pekerja pendawaian elektrik, Mohd Fadir Othman, 36, berkata, sumbangan beras meringankan bebannya menyediakan bahan makanan untuk keluarga.

"Alhamdulillah, saya tidak sangka hajat di hati untuk mendapatkan dos kedua, dapat pula beras yang walaupun sekadar lima kg, ia tetap rezeki untuk saya sekeluarga," katanya.

Juhri Metro, 30, yang memegang kad Pemastautin Tetap (PR) berkata, sumbangan itu membolehkannya memanfaatkan wang yang sepatutnya membeli beras untuk membeli bahan makanan lain.

"Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Japerun kerana memberi sumbangan yang berharga ini," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara, Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, bahan makanan asasi itu disumbangkan Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan disampaikan melalui Japerun.

Ia bertujuan meringankan beban kewangan anggota komuniti, terutama mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 September 2021 @ 9:42 AM