Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tanah runtuh dilaporkan berlaku di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, di sini, petang tadi, menyebabkan laluan itu di Seksyen 43.9 ditutup sepenuhnya kepada semua aliran trafik bermula 9 malam ini.

Perkara itu disahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kinta yang menyatakan kejadian membabitkan laluan sepanjang 30 meter dengan lebar lima meter yang dikesan 5.45 petang tadi.

Susulan itu, jabatan terbabit bersama syarikat konsesi Belati Wangsa (M) Sdn Bhd, melakukan pemantauan di lokasi terbabit.

JKR Daerah Kinta menerusi kenyataan yang dikongsikan kepada media malam ini berkata, runtuhan laluan di kawasan cerun terbabit berkemungkinan disebabkan faktor hujan berterusan yang menyebabkan struktur tanah menjadi lemah serta tidak kukuh.

Katanya, pengguna jalan raya bagaimanapun masih dapat menggunakan jalan alternatif iaitu Laluan FT059, Jalan Tapah-Ringlet.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 11:12 PM