DR NOOR Hisham, gambar fail. FOTO Bernama
DR NOOR Hisham, gambar fail. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah harian pesakit yang pulih daripada Covid-19 di Malaysia terus mengatasi jangkitan baharu apabila 17,205 kes pulih dilaporkan berbanding 15,549 kes baharu yang direkodkan setakat 12 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif individu yang pulih daripada wabak berkenaan kini seramai 1,840,453 orang.

Beliau berkata, terdapat 1,165 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) merangkumi 888 kes disahkan COVID-19 manakala 277 kes disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Sebanyak 689 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 401 kes positif sementara 288 kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan," katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan hari ini, 263 kes atau 1.7 peratus adalah kategori tiga (radang paru-paru), empat (perlu bantuan oksigen) dan lima (perlu bantuan pernafasan) manakala baki 15,286 kes atau 98.3 peratus dalam kategori satu (tidak bergejala) dan dua (bergejala ringan).

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu itu juga, lima adalah kes import manakala 15,544 kes penularan dalam negara melibatkan 13,954 warganegara.

Katnaya, 16 kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam iaitu 10 kluster di tempat kerja, empat kluster komuniti dan dua kluster kumpulan berisiko tinggi.

Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia semalam adalah 0.95 dengan semua negeri mencatat bacaan bawah 1.0 kecuali Sarawak yang mencatatkan nilai Rt paling tinggi iaitu 1.11 diikuti Terengganu (1.05), Perak dan Pahang (1.04), Johor (1.01) dan Pulau Pinang (1.00).

Data kematian pula akan dimuat naik dan dipaparkan menerusi laman GitHub dan laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my.

Dalam perkembangan lain, Dr Noor Hisham berkata 2,507 individu telah disaring melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi pada hari ini dan seorang didapati positif melalui ujian RTK-Ag (kendiri) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Beliau berkata 2,326 individu menjalani saringan di lapangan terbang manakala 181 lagi individu telah disaring di Jeti Kuala Perlis.

Bagi individu yang disahkan positif, beliau berkata kes berada dalam kategori satu dan telah diberikan perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 10 hari.

"Bagi jenis ujian yang dijalankan pula, 2,481 individu telah menjalani ujian Covid-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RT-PCR manakala 26 individu lagi adalah kanak-kanak berumur enam tahun dan ke bawah yang dikecualikan menjalani ujian Covid-19.

"Daripada 2,507 individu yang disaring tersebut, 2,506 individu diluluskan untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi iaitu 2,325 melalui kapal terbang dan 181 melalui feri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 8:54 PM