Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Wanita kerugian RM395,200 selepas menjadi mangsa penipuan Love Scam lelaki yang dikenali menerusi Instagram sejak April lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mangsa 23 tahun tahun yang juga peniaga itu berkenalan dengan lelaki warga asing yang tinggal di London menggunakan nama 'chongwei4580' di laman sosial berkenaan.

Katanya, selepas itu mangsa kerap berhubung dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

"Pada 10 September lalu, mangsa yang kematian suami dihubungi suspek kononnya bersimpati dengan nasibnya ingin mengirimkan barang yang mengandungi wang tunai USD 950,000 (RM3.96 juta).

"Pada 13 September lalu, mangsa menerima emel dari syarikat penghantaran Korea yang meminta mangsa menjelaskan bayaran RM6,200 bertujuan melepaskan barang itu dari kastam.

"Mangsa juga diugut sekiranya enggan membuat bayaran termasuk bayaran lain yang diarahkan suspek, dia akan ditangkap kerana bersubahat dalam kegiatan penggubahan wang haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi tempoh 13 hingga 15 September lalu, mangsa membuat 24 transaksi pembayaran secara atas talian ke 11 akaun berbeza berjumlah RM395,200.

Katanya, sehingga kini, mangsa tidak menerima sebarang kiriman yang dijanjikan sebelum menyedari ditipu.

"Polis menerima laporan berkenaan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada semalam sahaja, jumlah kerugian kes komersil yang dilaporkan di Johor adalah sebanyak RM546,203.

"Ia meliputi tiga kes membabitkan penipuan jual beli atas talian dengan kerugian RM8,450, penipuan tawaran pekerjaan (2 kes, kerugian RM8,313), parcel scam (1 kes, kerugian RM395,200) dan penipuan pelaburan (2 kes, kerugian RM134,240)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:24 PM