GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO AFP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang individu yang mahu berlepas ke Pulau Langkawi didapati positif Covid-19 selepas dikenal pasti melalui ujian RTK-Ag di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 2,507 individu disaring melalui Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 2,326 individu menjalani saringan di lapangan terbang, manakala 181 lagi individu disaring di Jeti Kuala Perlis.

Bagi jenis ujian yang dijalankan pula, katanya, seramai 2,481 individu menjalani ujian Covid-19 iaitu 2,468 RTK-Ag dan 13 RT-PCR, manakala 26 individu lagi adalah kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah yang dikecualikan menjalani ujian Covid-19.

"Hasil saringan ini, seorang individu didapati positif Covid-19 selepas dikenal pasti melalui ujian RTK-Ag di KLIA2.

"Kes positif ini didapati berada dalam kategori satu dan diberikan perintah Home Surveillance Order (HSO) untuk menjalani kuarantin di rumah selama tempoh 10 hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 2,507 individu yang disaring, seramai 2,506 individu diluluskan untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Langkawi iaitu 2,325 melalui kapal terbang dan 181 melalui feri.

"KKM ingin mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam apa keadaan sekalipun bagi menjaga keselamatan diri, keluarga, dan masyarakat sekeliling.

"Amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mencuci tangan dengan kerap. Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau selepas pulang dari Pulau Langkawi, segera dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan COVID-19.

"Sekiranya kita mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 7:14 PM