WEE ketika mengadakan lawatan ke Kaunter Mobil JPJ di Kangkar Baru, Yong Peng. FOTO Essa Abu Yamin
WEE ketika mengadakan lawatan ke Kaunter Mobil JPJ di Kangkar Baru, Yong Peng. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Kementerian Pengangkutan (MOT) bersiap siaga mengatur gerak sektor pengangkutan awam sekiranya lebih banyak destinasi pelancongan dibuka ketika tempoh endemik Covid-19 yang dijangka penghujung bulan depan.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia dilakukan berdasarkan kepada projek rintis gelembung pelancongan Pulau Langkawi, Kedah yang menunjukkan kedua-dua sektor mendapat permintaan tinggi oleh rakyat Malaysia.

"Pada hari pertama, 800 individu memulakan perjalanan menaiki pesawat ke Pulau Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), manakala 720 orang lagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 2).

"Pihak MOT sendiri akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkara berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Kaunter Mobil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kangkar Baru, Batu Pahat dekat sini, hari ini

Katanya, bagi sektor penerbangan juga sudah bersedia dengan usaha berkenaan seperti membuka kaunter jualan tiket.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak JPJ memberi lanjutan tempoh tujuh bulan lagi bagi Lesen Belajar Memandu (LBM).

"Perlanjutan berkenaan bagi memastikan pemilik lesen L tidak tergesa-gesa memperbaharui lesennya selepas tamat tempoh.

"Perkara berkenaan akan membantu mereka yang tidak dapat menjalani ujian memandu mereka disebabkan pandemik Covid-19 dan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi," katanya.

Katanya, sebelumnya ini pihaknya melanjutkan tempoh sah LBM hanya tiga bulan sahaja sehingga November tahun ini.

"Kami menerima maklum balas dan panggilan daripada golongan muda yang memegang LBM mengenai tempoh tamatnya lesen.

"Sebagai Menteri Pengangkutan, saya bersetuju untuk memberikan lanjutan untuk LBM hingga 30 Jun tahun depan," katanya.

Katanya, mereka yang memiliki LBM kini tidak perlu terburu-buru menjalani ujian memandu berkenaan dan mereka mempunyai lebih banyak masa untuk membuat pengaturan baharu yang diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 5:49 PM