ANGGOTA polis memantau pematuhan SOP di Pantai Klebang. FOTO Syafeeq Ahmad
ANGGOTA polis memantau pematuhan SOP di Pantai Klebang. FOTO Syafeeq Ahmad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis akan terus melakukan pemantauan secara konsisten bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila keluar melancong atau mengunjungi pusat riadah.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Hazani Ghazali berkata, kadar pematuhan orang ramai terhadap SOP adalah tinggi.

"Jika kita lihat sekarang, orang ramai patuh terhadap SOP ditetapkan dengan memakai pelitup muka serta menjaga penjarakan fizikal.

"Hanya sebahagian kecil sahaja yang kebanyakkan membabitkan warga asing dilihat tidak menjaga SOP dan ia mungkin disebabkan kekangan (bahasa) kerana tidak memahami arahan.

"Pada masa sama, pemantauan terus dilakukan secara berterusan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, meskipun banyak kelonggaran diberikan ketika ini, pihaknya tidak berdepan kesukaran untuk melaksanakan pemantauan pematuhan SOP.

"Dalam setiap pemantauan dilakukan, pihak polis akan mengguna budi bicara dalam menegur orang ramai yang tidak mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakkan fizikal.

"Sekiranya mereka masih berdegil, kita akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang diperuntukkan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh terhadap SOP ditetapkan bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19.

"Ikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan mengamalkan 3W iaitu mencuci tangan, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakkan fizikal.

"Pada masa sama, orang ramai disaran supaya mengelak 3C iaitu tempat sesak, tempat tertutup dan sembang dekat bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 4:22 PM