Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Berang: Kadar pematuhan peniaga dan pengusaha farmasi terhadap harga jualan kit ujian kendiri Covid-19 agak memuaskan apabila hanya 34 kes menjual melebihi harga kawalan direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setakat ini.

Jumlah itu dikesan KPDNHEP hasil daripada lebih 1,800 pemeriksaan di seluruh negara sejak harga kawalan kit ujian berkenaan ditetapkan pada harga kawalan RM16 untuk borong dan RM19.90 untuk runcit bermula 5 September hingga semalam.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, setakat ini pihaknya mengeluarkan satu kompaun bernilai RM250 terhadap peniaga yang menjual kit ujian kendiri melebihi harga ditetapkan, manakala baki kes masih dalam siasatan dan ada yang diberi amaran.

Beliau berkata, kompaun itu dikeluarkan pihaknya mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Daripada lebih 1,800 pemeriksaan itu, sebanyak 1,552 peniaga dan pengusaha farmasi memberi kerjasama baik dan menjual mengikut harga kawalan manakala 185 lagi menjual di bawah harga kawalan.

"Ia hasil pemeriksaan di seluruh negara dengan kebanyakan kesalahan dikesan di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

"Berdasarkan pemeriksaan ini, kita dapati ia (penjualan kit ujian kendiri melebihi harga) masih terkawal dan pemeriksaan berterusan akan dijalankan bagi melindungi hak pengguna," katanya ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Akademi Binaan Malaysia Jenagor di Hulu Terengganu di di sini hari ini.

Mengulas mengenai perkembangan terkini program vaksinasi Covid-19 di Parlimen Hulu Terengganu, Rosol berkata, seramai 50,409 orang menerima suntikan vaksin pertama dengan 41,439 daripadanya sudah lengkap kedua-dua dos suntikan.

Katanya, terdapat seramai 88,200 orang populasi dewasa di Parlimen Hulu Terengganu dengan 56,600 orang daripadanya disasarkan layak menerima suntikan vaksinasi.

"Berdasarkan data terkini ini, program imunisasi Covid-19 di parlimen ini berjalan dengan baik dan mencapai sasaran imuniti kelompok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 3:14 PM