AHMAD Marzuk (kanan) menyampaikan sijil perhargaan dan wang tunai kepada sebahagian pelajar cemerlang  sempena majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  secara pandu lalu di Perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk (kanan) menyampaikan sijil perhargaan dan wang tunai kepada sebahagian pelajar cemerlang sempena majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara pandu lalu di Perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Jangan guna 'kabel' untuk menunaikan solat Jumaat di masjid, sebaliknya datang awal untuk mendapat tempat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, jika tidak ada tempat untuk solat Jumaat berikutan kuota sudah mencukupi, lebih baik pulang solat Zohor di rumah.

"Setiap orang yang nak ke masjid itu, tidak kira 'kabel' atau 'booking' tidak perlu. Jika tidak dapat solat Jumaat, lebih baik balik kerana boleh dapat 'rukhsah'. Mereka boleh balik dan menunaikan solat Zohor,

"Jangan menimbulkan ketegangan dengan perkara yang tidak elok dan menyebarkan cerita yang memburukkan institusi masjid.

"Apa yang dilakukan oleh pihak masjid itulah yang terbaik berdasarkan kebenaran prosedur operasi standard (SOP). Mereka tak boleh tambah (jumlah jemaah) di luar bidang kuasa mereka. Misalnya, Kelantan hanya membenarkan 40 jemaah untuk solat Jumaat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Program Penyampaian Bantuan Secara Pandu Lalu Kepada Pelajar Cemerlang yang akan melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Seramai 337 pelajar terpilih dari Parlimen Pengkalan Chepa menerima bantuan berjumlah RM250 seorang di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, setiap orang kena faham agama ini dengan cara hukum sebenar, bukannya dengan kehendak sendiri.

"Hendak buat baik tapi kita guna cara apa sekalipun dan itu tidak betul. Ada orang guna cara sebenar dengan pusing beberapa masjid dan semua penuh sebelum balik solat Zohor di rumah. Cara ini dia dapat rukhsah kerana sudah usaha.

"Ini tidak ada tempat tapi tunggu juga di luar hingga menimbulkan perkara yang tidak baik," katanya.

Beliau berkata, jika untuk imam, bilal dan kakitangan masjid perlu ada tempat untuk mereka bagi membolehkan solat Jumaat diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 3:14 PM