SEBAHAGIAN penerima bakul makanan di RTCare Melaka Tengah di Taman Paya Rumput Indah menerima sumbangan menerusi konsep pandu laju. FOTO Nazri Abu Bakar
SEBAHAGIAN penerima bakul makanan di RTCare Melaka Tengah di Taman Paya Rumput Indah menerima sumbangan menerusi konsep pandu laju. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar

Melaka: Sebanyak 36 keluarga positif Covid-19 menerima sumbangan bakul makanan secara pandu lalu di Taman Paya Rumput Indah di sini.

Program anjuran Anjuran Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Negeri Melaka dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman perumahan itu turut menyampaikan sumbangan kepada waris dua keluarga yang meninggal dunia akibat pandemik terbabit.

Pengerusi KRT, Khalil Ahmad berkata, selain mereka, lebih 100 asnaf turut menerima sumbangan.

Kata beliau, sumbangan diberi pemimpin masyarakat, penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Serentak dengan majlis ini, KRT Taman Paya Rumput Indah turut dijadikan Pusat Rukun Tetangga Care (RTCare) untuk mengumpul dan mengagih bakul makanan kepada 38 KRT di Melaka Tengah.

"Wakil 38 KRT ini turut hadir menerima sumbangan bakul makanan untuk diagih kepada asnaf di kawasan mereka," katanya.

Turut menyampaikan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Sementara itu, Pegawai Perpaduan Daerah Melaka Tengah Nadiatul Ain Md Saharif berkata, RTCare berkenaan adalah yang ketiga ditubuhkan.

"Ia ditubuhkan selepas Bukit Katil (Zon 1) dan Peringgit (Zon 2).

"Objektif program pula adalah untuk membantu meringankan beban anggota masyarakat yang terkesan dengan pandemik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 September 2021 @ 1:19 PM