Universiti Malaysia Sabah.
Universiti Malaysia Sabah.
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersiap sedia dengan pelan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengikuti ketetapan pihak berkuasa bagi memastikan sesi pembelajaran dan pengajaran dibuat secara selamat.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, persiapan terbabit dilakukan berikutan pengumuman Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengenai kebenaran penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lengkap vaksin kembali ke kampus bermula 15 Oktober, baru-baru ini.

"Buat permulaan, UMS akan memberi keutamaan kepada penuntut yang berkeperluan khas.

"Antaranya, mereka yang tinggal di pendalaman dan mempunyai isu capaian berupa masalah talian internet, isu keterbatasan peranti dan isu ketidakmampuan pelajar membeli kapasiti data yang diperlukan," katanya.

Mengulas lanjut, Taufiq berkata, penuntut yang dibenarkan untuk memasuki kampus akan diberikan surat pengesahan keperluan kembali ke UMS.

"Surat ini adalah untuk kegunaan penuntut, sebagai dokumen pembuktian memohon kebenaran rentas daerah atau negeri daripada pihak berkuasa.

"Apabila berada di dalam kampus, penuntut akan sentiasa diingatkan untuk merujuk dan mematuhi peraturan dan SOP yang ditetapkan sama ada di kolej kediaman, di kawasan fakulti serta kawasan lain," katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas lanjut, Taufiq turut memaklumkan bahawa lebih 81 peratus penuntut UMS sudah pun lengkap menerima vaksin setakat semalam.

"Kita juga menghubungi penuntut yang masih belum divaksin agar berbuat demikian secepat mungkin.

"Bagi mereka yang berada di sekitar Kota Kinabalu, boleh datang terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) UMS.

"Bagi penuntut di Semenanjung dan Sarawak, kita bekerjasama dengan semua PPV IPT dan mereka boleh mendapatkan vaksin di sana ataupun PPV di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Semua kakitangan pentadbiran dan akademik termasuk pekerja luar seperti pihak pembekal dan mereka yang kerap berurusan di dalam universiti juga telah menerima vaksin bagi mengelakkan berlakunya penularan kes Covid-19 di dalam kampus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:38 PM