KEADAAN kereta jenis Nissan Almera yang dipandu jururawat, Wan Nurintan yang terbabas dan melanggar tiang eletrik. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kereta jenis Nissan Almera yang dipandu jururawat, Wan Nurintan yang terbabas dan melanggar tiang eletrik. FOTO ihsan Polis
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Perjalanan seorang jururawat untuk ke tempat kerja di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini berakhir tragedi apabila mangsa maut dalam kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian di Bunut Payong pada jam 2.15 petang tadi, kenderaan yang dipandu Wan Nurintan Farahida Wan Hasan, 35, terbabas dan melanggar tiang elektrik serta bahagian hadapan sebuah kedai berhampiran menyebabkan mangsa tersepit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Nissan Almera dari arah Wakaf Che Yeh menghala ke Kota Bharu untuk ke tempat kerja.

"Sebelum sampai di lokasi kemalangan, mangsa melalui satu selekoh dan kenderaannya dipercayai hilang kawalan apabila tiba di satu kawasan yang terdapat bonggol di tengah jalan.

"Akibat itu kenderaan yang dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik serta bahagian hadapan sebuah kedai berhampiran.

"Mangsa yang tersepit dalam kenderaan dikeluarkan oleh bantuan pasukan bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan yang hadir," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawah ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 6:23 PM