ZAHID (tengah) mewakili kerajaan Malaysia menyempurnakan Upacara Penyerahan Fizikal LMS Ketiga. FOTO Ihsan Mindef
ZAHID (tengah) mewakili kerajaan Malaysia menyempurnakan Upacara Penyerahan Fizikal LMS Ketiga. FOTO Ihsan Mindef
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kapal Misi Pesisir (LMS) Ketiga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dinamakan sebagai Badik bersempena nama sebuah kapal ronda Kelas KRIS yang dilucut tauliah pada 2005.

TLDM dalam kenyataan memaklumkan upacara penamaan itu dilaksanakan di Limbungan Wuchuan, Pelabuhan Wucang, Qidong, Nantong City, China, pagi ini.

Menurut kenyataan itu, upacara penamaan disempurnakan oleh Rohana Osman yang juga isteri kepada Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China sesuai tradisi Tentera Laut apabila kapal perang yang baru akan diberi nama oleh isteri orang kenamaan.

"Penggunaan nama Badik yang juga senjata tradisional Melayu, turut melambangkan simbol semangat kepahlawanan, perjuangan, keberanian dan kekuatan dalam menentang serta menangkis serangan musuh.

"Badik adalah kapal LMS ketiga dan akan menyertai Skuadron LMS Ke-11 yang berpangkalan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Skuadron itu kini mempunyai dua kapal LMS iaitu KD Keris dan KD Sundang yang sudah beroperasi," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, Badik mula dibina pada 18 September 2019 dan dilancarkan ke permukaan air pada 28 Oktober tahun lalu oleh Pasukan Projek LMS TLDM di Wuhan.

"Selepas menjalani ujian penerimaan di pelabuhan dan laut, kapal itu diserahkan secara rasmi kepada Kerajaan Malaysia pada 14 September lalu di Qidong, China," katanya.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat (LLP) sebagai kru pertama menjalani latihan intensif selama lima bulan di China dan Badik dirancang tiba di Malaysia pada penghujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 4:45 PM