Nazri Abu Bakar


Melaka: Barangan rosak dan luput tarikh dengan kerugian mencecah RM10,000 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilalui dengan tabah peniaga kraftangan serta makanan tradisional di Bandar Hilir di sini.

Peniaga makanan tradisional dan kraftangan di Jalan Merdeka, Bandar Hilir, Hafizi Zakaria, 33, berkata, dia 'termenung' dengan apa yang dialami terutama selepas tidak dapat beroperasi lebih lima bulan namun percaya ada hikmah di sebalik semua itu.

Katanya, dia memulakan perniagaan itu pada 2008 malah menerima sambutan baik pelanggan sebelum merudum akibat penularan pandemik.

"Akibat penutupan perniagaan, ada kerepek, gula Melaka, produk manisan, belacan, cencaluk serta makanan lain yang rosak. Ia membabitkan kerugian besar.

"Sebahagian besar barangan ini belum dibayar berikutan kami melakukan konsep 'ambil dan jual dahulu sebelum bayar'," katanya.

Katanya, kerosakan juga membabitkan kraftangan diperbuat daripada buluh dan kayu yang rosak dimakan bubuk.

Menurutnya, dia tidak boleh menjual barangan yang rosak dan kerosakan itu pula perlu ditanggungnya.

"Pada masa sama, saya juga terpaksa meminta pekerja mencari pekerjaan lain sepanjang tempoh berkenaan kerana tidak mampu membayar gaji kerana tiada pendapatan.

HAFIZI menyusun atur produk jualannya setelah hampir lima bulan kedai miliknya tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP dan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1. FOTO Syafeeq Ahmad
HAFIZI menyusun atur produk jualannya setelah hampir lima bulan kedai miliknya tidak beroperasi sepanjang tempoh PKP dan Pelan Pemulihan Negara Fasa 1. FOTO Syafeeq Ahmad

"Saya juga menggunakan wang simpanan untuk menyara isteri serta tiga anak berusia setahun hingga 10 tahun," katanya.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana penganjur tidak mengenakan bayaran sewa sepanjang lima bulan berkenaan sekali gus meringankan bebannya.

Sementara itu, Hazlina Ahmad Latifi, 35, berkata, selepas kedai beroperasi enam hari lalu, pihaknya perlu mengeluarkan kos membeli semula barangan baru mencecah RM12,000.

Katanya, walaupun kedai boleh dibuka sehingga jam 10 malam namun mereka hanya beroperasi setakat jam 6.30 petang.

"Ini kerana, pelanggan hanya dalam kalangan penduduk Melaka selain masih banyak kedai belum di buka.

"Kami harap sektor ekonomi dapat beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi kerana kami mengharapkan kedatangan pelanggan untuk meneruskan perniagaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 12:51 PM