HAJIJI berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021. FOTO Mohd Adam Arinin
HAJIJI berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2021. FOTO Mohd Adam Arinin
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghargai komitmen kerajaan pusat dalam meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai keutamaan di peringkat persekutuan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor ketika dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Malaysia 2021, semalam berkata, pihaknya turut menghargai komitmen kerajaan meletakkan MA63 sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman di peringkat persekutuan.

"Atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan serta menyambung semula pada kadar segera siri rundingan di antara Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak melalui platform Majlis Khas MA63 yang telah dirintis di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Banyak kemajuan awal telah mula dicapai. Kita berkeyakinan tinggi, di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna yang lebih besar.

"Berteraskan semangat 'Keluarga Malaysia' merentasi wilayah, InsyaAllah, kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah MA63," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut berkata, GRS di bawah pimpinan beliau sejak dari awal bersepakat untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah sebagai keutamaan dan menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

"Mandat rakyat perlu ditunaikan sehabis baik, apatah lagi di kala menghadapi kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

"Suka saya mengulangi komitmen bahawa selaku ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, saya ingin mengemukakan jaminan bahawa, yakin dan percayalah, suara rakyat Sabah yang mengutarakan hak-hak negeri, sebenarnya bukan hanya berkisar tentang kepentingan negeri semata-mata.

"Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama.

"Setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa," katanya.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 September 2021 @ 11:00 AM