BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebuah laman web dikenali sebagai 'Memorial Covid-19 Malaysia' dibangunkan bagi mengenang dan menghormati individu yang terkorban akibat Covid-19.

Inisiatif oleh sekumpulan sukarelawan terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama itu boleh dilayari menerusi http://c19memorial.my dan ia menyiarkan gambar dan info mengenai arwah atau mendiang yang diperoleh daripada perkongsian waris atau keluarga mangsa melalui laman web yang dihebahkan mulai 31 Ogos lalu.

"Data juga diambil dan dikumpul melalui berita yang dilaporkan media tempatan serta status posting awam di media sosial.

"Selain itu, laman web ini juga menyediakan rujukan bantuan bagi kesihatan mental serta pautan kepada agensi-agensi yang menawarkan bantuan menghadapi pandemik ini.

"Justeru, tanggal 19 hari bulan setiap bulan ditetapkan sebagai hari peringati mangsa Covid-19," menurut pasukan sukarelawan berkenaan dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, inisiatif bagi membangunkan laman web berkenaan bermula daripada satu tweet pemilik akaun twitter Aidila Razak pada 6 Ogos lalu yang menyuarakan idea membangunkan memorial bagi angka kematian Covid-19 yang ketika itu mencecah 10,000 orang.

"Lebih daripada 12 orang individu menawarkan diri dan perbincangan pertama kali diadakan secara dalam talian pada 10 Ogos lalu.

"Meskipun baharu berkenalan, namun perbincangan dan kerjasama sepanjang pembangunan memorial berjalan lancar kerana setiap sukarelawan yang terbabit bersemangat tinggi dan mempunyai sesuatu yang boleh ditawarkan sama ada kemahiran dalam aspek teknikal pembangunan laman web, reka bentuk grafik, pengumpulan data, penulisan, terjemahan dan editorial, serta pengurusan media sosial," kata pasukan sukarelawan itu.

Pembangunan laman web tersebut turut mendapat khidmat nasihat daripada Bolehspace iaitu satu kumpulan yang aktif memperjuangkan isu kebolehcapaian yang saksama kepada golongan orang kurang upaya (OKU).

"Kami berusaha sedaya upaya supaya laman web ini dapat diakses semua golongan. Hasilnya, memorial ini berjaya menawarkan pilihan paparan mesra disleksia, teks alternatif serta penetapan paparan yang sesuai bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan," menurut pasukan itu.

Rakyat Malaysia juga dialu-alukan berkongsi cerita bersama orang tersayang pada tanggal ini melalui media sosial masing-masing dengan menggunakan #c19memorialmy dan tag covid19memorialmy.

Sebarang komen dan penambahbaikan boleh dihantar kepada pihaknya menerusi e-mel di [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 4:25 PM