Beberapa anggota Hazamat melakukan siasatan. FOTO BERNAMA
Beberapa anggota Hazamat melakukan siasatan. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sembilan individu yang dipercayai terbabit dalam insiden pembuangan bahan kimia di sungai di Kampung Baru Sri Aman, Seelong, Kempas, di sini, sudah ditahan setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, penahanan sembilan suspek itu bagi membantu siasatan lanjut kes yang menyebabkan empat penduduk sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan, manakala 102 lagi terpaksa dipindahkan, sejak malam tadi.

"Jabatan Alam Sekitar (Jas) Johor melakukan pemeriksaan mengejut ke atas beberapa premis yang disyaki terbabit menyebabkan pencemaran di tali air dan Sungai Tawakal di Kampung Baru Sri Aman termasuk sebuah kilang pirolisis tayar.

"Jas turut menjalankan pemantauan kualiti udara di sekitar kawasan kampung yang terjejas namun sehingga jam 2 petang tadi didapati kualiti udara semakin bertambah baik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media pagi ini melaporkan, empat penduduk Kampung Baru Sri Aman, di sini, pengsan dan sesak nafas, manakala ratusan lagi terpaksa dipindahkan selepas terhidu bau busuk disyaki bahan kimia daripada sungai berhampiran kampung itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap penjenayah alam sekitar dan mereka akan dikenakan hukuman setimpal.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu (melupuskan bahan buangan terjadual secara haram) yang mana pesalah boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000.

"Jas mengalu-alukan maklumat yang diberikan orang awam bagi membolehkan tindakan pantas diambil dalam membanteras insiden pencemaran alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 5:23 PM