KAKITANGAN Unit Galakan Pasaran (Promosi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Noor Zihaini Awang menunjukkan buah Jambu Batu Lohan (GU16) yang dipromosikan di Pasar Tani Khas Hari Malaysia di Pasar Tani Jasin. FOTO Bernama
KAKITANGAN Unit Galakan Pasaran (Promosi) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Noor Zihaini Awang menunjukkan buah Jambu Batu Lohan (GU16) yang dipromosikan di Pasar Tani Khas Hari Malaysia di Pasar Tani Jasin. FOTO Bernama
GHAZALE (dua, kanan) menyampaikan sumbangan sayur-sayuran kepada pengunjung di Pasar Tani Jasin. FOTO Bernama
GHAZALE (dua, kanan) menyampaikan sumbangan sayur-sayuran kepada pengunjung di Pasar Tani Jasin. FOTO Bernama
BERNAMA

Jasin: Sebanyak 100 daripada keseluruhan 312 pasar tani dibuka di negeri yang berada dalam Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), melibatkan kira-kira 4,000 peniaga, kata Ahli Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ghazale Muhamad.

Beliau berkata, pembukaan pasar tani berkenaan membabitkan tujuh komoditi jualan yang dibenarkan iaitu buah-buahan, sayur-sayuran, hasilan laut, daging, ayam proses, barangan runcit dan produk industri kecil dan sederhana serta makanan dan minuman siap dibungkus.

"Setakat ini hanya Kedah dan Johor yang belum dibenarkan membuka operasi pasar tani kerana masih berada dalam Fasa Satu PPN, manakala di negeri yang telah beralih ke Fasa Dua PPN pula melibatkan lokasi tertentu sahaja.

"Tiada had jumlah gerai yang boleh dibuka sesebuah di pasar tani, namun hanya tujuh komoditi jualan yang dibenarkan dalam tempoh Fasa Dua PPN ini dan kelonggaran pada komoditi jualan lain bergantung kepada prosedur operasi standard semasa yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Pasar Tani Khas Hari Malaysia di Pasar Tani Jasin di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA Abdul Rashid Bahri dan Pengarah FAMA Melaka Hairudin Yunos.

Mengulas lanjut, Ghazale berkata, waktu pengoperasian pasar tani terlibat kekal iaitu bermula 6 pagi hingga 12 tengah hari dan hanya pengunjung yang telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan untuk masuk ke pasar tani terlibat, dengan menunjukkan Sijil Digital Vaksinasi Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

"Hari pengoperasian juga tetap seperti jadual biasa sebelum ini kerana pasar tani mempunyai pelanggan tetap, selain peniaga juga ada jadual perniagaan mereka…contohnya ada yang berniaga di Pasar Tani Jasin turut berniaga di Pasar Tani Merlimau.

"Kita berharap pembukaan pasar tani dapat membantu memulihkan aktiviti perniagaan dan ekonomi peniaga, setelah lama terjejas dengan penularan COVID-19," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ghazale berkata FAMA bercadang menjadikan Jambu Batu Loha (GU16) sebagai ikon buah-buahan negeri Melaka, dengan melakukan penjenama ke atas nama buah berkenaan.

Beliau berkata, antara cadangan nama baharu jambu berkenaan ialah Jambu Manis Melaka, dan perkara itu akan dibawa ke peringkat kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk mendapatkan persetujuan daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali.

"Buah jambu ini diusahakan seorang kontraktor dengan keluasan kira-kira 4.86 hektar di Pulau Gadong dan berjaya mengeluarkan 40 metrik tan setahun.

"Secara umum, jambu adalah buah-buahan yang biasa kita jumpa bukan sahaja di Melaka, namun ia ada kelainan sendiri kerana buahnya rangup dan manis hasil teknik penanaman pengusahanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 3:01 PM