Mohd Amin Jalil


Seremban: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memastikan nasib dan masa depan kanak-kanak yatim piatu yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 tidak tersisih.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, tujuh daripada 36 institusi khas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara telah dikhususkan untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya, tujuh institusi itu ditetapkan mengikut zon iaitu masing-masing dua di zon utara dan zon tengah manakala masing-masing satu di zon timur, Sabah dan Sarawak.

"Kita sedar kanak-kanak ini kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 dan sekiranya mereka tiada lagi waris atau saudara mara untuk menjaga, kita (kementerian) menyediakan tujuh institusi di bawah JKM dikhususkan untuk kanak-kanak ini.

"Bagaimanapun, kami utamakan kalangan ahli keluarga yang terdekat untuk menjaga dan memelihara mereka.

"Kebenaran harus diberikan kepada saudara mara mahupun jiran yang terhampir dan sangat rapat dengan mereka selain orang yang layak dan selamat untuk menjaga kanak-kanak ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan bantuan pada program Bantuan Ibu Miskin dan Miskin Tegar (BIMT) dan lawatan pusat vaksinasi di Pusat Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Sembilan di Seremban 2 di sini, hari ini.

Pada program itu, 100 keluarga dalam kalangan ibu yang bakal bersalin dan mereka yang mempunyai anak berusia 24 bulan ke bawah menerima bantuan berupa barangan keperluan bayi seperti pakaian, susu, lampin pakai buang dan lain-lainnya bernilai RM200 setiap satu.

Dalam laporan sebelum ini, KPWKM mengenal pasti 33 kanak-kanak di seluruh negara menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat Covid-19.

Siti Zailah berkata, pihaknya turut menjalin kerjasama dengan ahli komuniti dan sukarelawan serta 140 pasukan pelindung kanak-kanak di seluruh negara termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang digerakkan untuk membantu mereka.

"Mereka ini memainkan peranan dan memantau kanak-kanak yang kurang bernasib baik kesan daripada Covid-19.

"Hasrat kita ialah untuk memastikan nasib dan masa depan termasuk kanak-kanak kategori lain seperti akibat dera dan sebagainya, sentiasa diberikan perhatian dan terjamin," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, program BIMT membabitkan kerjasama Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) dan LPPKN Negeri Sembilan, sangat membantu ibu bapa yang menghadapi banyak kekangan dalam keadaan pandemik Covid-19.

"Ia adalah program yang julung kali diadakan dan saya harap ia dicontohi dan dilaksanakan di negeri-negeri lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 1:54 PM