Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Sebanyak 66,440 kes cerai membabitkan individu beragama Islam didaftarkan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 bermula sejak Mac tahun lalu hingga Ogos lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Selangor merekodkan jumlah tertinggi iaitu 12, 479, diikuti Johor (7,558); Kedah (5,985), Kelantan (5,982), Perak (5,921) dan 5,098 di Terengganu.

Katanya, sementara Pahang pula merekodkan 5,058 daftar cerai; Sabah (4,010); Pulau Pinang (2,978); Wilayah Persekutuan (3,854); Negeri Sembilan (3,473); Melaka (2,402); Perlis (1,081) dan 561 di Sarawak.

"Bilangan kes perceraian yang difailkan semasa tempoh pandemik dari bulan Mac 2020 hingga Ogos 2021 bagi golongan bukan Islam di seluruh negara pula sebanyak 10, 346 kes.

"Daripada jumlah ini, Selangor mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,160 kes, diikuti Kuala Lumpur sebanyak 2,893 kes dan Perak sebanyak 1,209 kes," katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang meminta Perdana Menteri menyatakan statistik perceraian masyarakat luar bandar ketika pandemik dan sejauh mana kerajaan berusaha menangani masalah ini.

Ismail Sabri berkata, mahkamah tidak mempunyai statistik khusus berkenaan bilangan perceraian masyarakat luar bandar semasa pandemik.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sudah mengambil inisiatif menjalankan satu tinjauan pendapat umum bagi mengetahui cabaran, tahap tekanan emosi dan kesihatan mental yang dihadapi ibu bapa, selain ingin mengetahui sebarang corak perubahan yang berlaku dalam persekitaran keluarga.

Katanya, tinjauan ini dilaksanakan secara dalam talian pada 5 sehingga 14 Mac lalu dengan pembabitan 1,14 responden terdiri daripada golongan ibu dan bapa warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas serta mempunyai anak berumur 7 hingga 24 tahun saja.

"Sebelum tercetusnya gelombang ketiga pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada awal tahun ini, 49.4 peratus ibu bapa menyatakan kehidupan mereka dan keluarga hampir kembali normal dan majoriti daripada mereka mulai peka, faham dan mengamalkan cara kehidupan 'norma baharu'.

"Namun begitu, selepas tercetusnya gelombang ketiga dan pelaksanaan PKP 2.0, hampir 80.0 peratus ibu bapa menyatakan kehidupan mereka mulai terkesan dari segi ekonomi dan kesihatan mental," katanya.

Dari segi ekonomi keluarga pula, katanya hampir 28.0 peratus ibu bapa menyatakan keadaan kewangan mereka semakin teruk berbanding ketika tempoh gelombang pandemik dan perlaksanaan PKP sebelumnya.

"Ini terbukti apabila dapatan tinjauan mendapati 84.1 peratus ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres (cemas, gugup dan gelisah) semasa gelombang ketiga pandemik Covid-19 melanda. Faktor utama ibu bapa mengalami tekanan emosi atau stres adalah disebabkan oleh pendidikan anak-anak (21.3 peratus), diikuti pembabitan aktiviti luar terhad – terpaksa berkurung (16.4 peratus) dan tempoh pelaksanaan PKP yang tidak dapat dipastikan (12.2 peratus).

"Terkesan dengan tekanan emosi atau stres, 63.0 peratus daripadanya pula menyatakan pernah mengalami kemurungan. Kesan dari kemurungan tersebut, 20.4 peratus ibu bapa mula sukar mengawal kemarahan, diikuti dengan mereka yang sukar tidur dengan tenang (16.8 peratus) dan kerap sakit kepala atau perut (15.8 peratus)," katanya.

Katanya, majoriti 70 peratus ibu bapa turut menyatakan persetujuan mereka bagi pembukaan semula sekolah dan pusat pengajian tinggi, dengan syarat pematuhan penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan kerajaan, selain 96.1 peratus pula bersetuju menerima suntikan vaksinasi Covid-19 dibekalkan kerajaan bersama ahli keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 12:36 PM