MAYAT lelaki bersama motosikal ditemui orang ramai di tepi Jalan Serting Hilir, Jempol, hari ini. FOTO ihsan polis.
MAYAT lelaki bersama motosikal ditemui orang ramai di tepi Jalan Serting Hilir, Jempol, hari ini. FOTO ihsan polis.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Mayat penunggang bersama motosikalnya ditemui orang ramai di tepi Jalan Serting Hilir, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu pada 2.30 petang.

Beliau berkata, pasukan polis bersama unit forensik ke tempat kejadian sebelum siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa berusia 26 tahun dan berasal dari Sarawak dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Serting Hilir.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal Yamaha Legenda ditunggang mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan dan jatuh ke tebing jalan sedalam 7.4 meter dari bahu jalan," katanya hari ini.

Hoo berkata, tarikh dan masa sebenar kejadian masih dalam siasatan, namun berdasarkan keadaan mayat, kemalangan dipercayai berlaku seminggu lalu.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 10:12 PM