Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan nisbah katil hospital kepada 1,000 penduduk pada kadar 2.08 pada akhir Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pada 2020 iaitu tahun akhir RMK-11, nisbah yang tercapai adalah 2.01 yang mana bilangan katil meningkat daripada 55,952 pada 2016 kepada 65,508 katil pada 2020.

"Bagi mencapai sasaran ditetapkan, KKM meneruskan inisiatif untuk menambah bilangan katil menerusi pembinaan hospital baharu dan menaik taraf hospital serta fasiliti sedia ada.

"Tumpuan diberikan kepada kawasan di mana hospital sedia ada mempunyai kadar penggunaan katil yang tinggi," katanya yang menjawab soalan lisan S Kesavan (PH-Sungai Siput).

S Kesavan meminta Khairy menyatakan apakah sasaran yang diambil kerajaan untuk mencapai tahap penyediaan katil hospital yang lebih tinggi.

Selain itu, Khairy menjelaskan, faktor lain yang turut diambil kira ialah kepadatan penduduk, akses kepada perkhidmatan di hospital sedia ada dan peruntukan kewangan kerajaan.

"Selain meningkatkan bilangan katil di hospital dan fasiliti KKM, kementerian juga menggunakan pendekatan mengoptimumkan bilangan katil sedia ada menerusi perkhidmatan rawatan harian di hospital utama bagi mengurangkan keperluan terhadap katil pesakit.

"Malah, pelaksanaan program hospital kluster yang mana perkhidmatan kepakaran dikembangkan ke hospital tanpa pakar yang mempunyai kadar penggunaan katil yang rendah," katanya.

KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP
KHAIRY Jamaluddin. FOTO arkib NSTP

Selain itu, Khairy turut menjawab soalan tambahan S Kesavan yang meminta penjelasan bagaimana rawatan diberikan kepada pesakit bukan Covid-19 di hospital kendalian KKM.

Khairy berkata, walaupun negara dilanda pandemik Covid-19, KKM tidak menghentikan atau mengurangkan perkhidmatan kepada pesakit bukan Covid-19 terutama bagi kes kecemasan dan separa kecemasan.

"KKM menyediakan pelan bagi memastikan pesakit bukan Covid- 19 mendapat rawatan sewajarnya dan langkah yang diambil adalah seperti pemanjangan waktu operasi klinik pakar atau dewan bedah selepas waktu pejabat termasuk pada Sabtu bagi hospital-hospital tertentu," katanya.

Katanya, pemanjangan waktu operasi klinik pakar dan dewan bedah selepas waktu pejabat termasuk pada hari Sabtu.

"Mengoptimumkan penggunaan hospital bukan pakar dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia untuk menjalankan prosedur atau pembedahan tertentu melalui konsep Hospital Kluster dan Hospital Tuanku Mizan digunakan untuk pembedahan kecemasan - Cornea/ Peadiatric Ophthalmology.

"Mobilisasi Pakar KKM dan pakar swasta ke Hospital yang tidak menyediakan perkhidmatan kepakaran tertentu seperti perkhidmatan kecemasan Vitreoretina di Zon Selatan dilakukan dengan penempatan pakar sub secara sementara," katanya.

Menurutnya, pakar bedah vaskular swasta di Johor menjalankan pembedahan kes vaskular khususnya 'ruptured aortic aneurysm' di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.

"Begitu juga, pakar di Lembah Klang menjalankan pembedahan di hospital swasta apabila empat hospital KKM ditukar status kepada Full Covid-19.

"Selain itu, penyumberluaran perkhidmatan tertentu kepada hospital swasta untuk mengurangkan waktu menunggu prosedur atau pembedahan.

"Proses penyumberluaran ini dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan dan kemampuan semasa kementerian berdasarkan kriteria kes.

"Pada masa ini, KKM bekerjasama dengan 76 hospital swasta seluruh Malaysia dan sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 3,974 prosedur sudah dilakukan," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan secara maya termasuk 'virtual clinic' sudah dimulakan dan akan diperluaskan di beberapa hospital serta klinik kesihatan.

"Meneliti kebolehlaksanaan penyediaan hospital khas non-Covid-19 untuk menjalankan prosedur atau pembedahan elektif yang tertangguh apabila kadar vaksinasi lengkap negara melebihi 60 peratus dan kes Covid-19 serius menurun pada September," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 11:54 AM