Mohd Khidir Zakaria


Nilai: "Ramai yang minta nak jaga anak bongsu saya, namun biarlah saya dan anak-anak lain yang menjaganya kerana inilah 'hadiah' terakhir daripada isteri," kata peniaga, Mohd Shahril Hakimi Hamdan, 41.

Isterinya, Hasmira Hussain, 38, meninggal dunia 20 Ogos lalu kerana komplikasi akibat Covid-19, selepas melahirkan anak bongsunya itu secara pembedahan ketika kandungan berusia 32 minggu.

Mohd Shahril berkata, selepas dimaklumkan mereka sekeluarga dijangkiti virus itu, hanya isteri dan anak sulungnya, Nurhasmieda, 20, dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban pada 4 Ogos untuk rawatan lanjut.

Sementara dia dan empat anak lain, Nurhasmieka, 18, Nurhasmiefa, 14, Nuruh Huda Diyana Husna, 10 dan Ajad Aqil Arfa, dikuarantin di rumah.

Katanya, hanya anak ketiga, Nurhasmieza, 17, yang negatif wabak itu.

"Pada mulanya saya ingatkan keadaan isteri tidak serius, tetapi pada 7 Ogos doktor memaklumkan isteri terpaksa ditidurkan, manakala anak yang dikandung terpaksa dilahirkan secara pembedahan sehari selepas itu.

"Saya langsung tidak fikirkan perkara buruk akan berlaku sehinggalah pihak hospital memaklumkan isteri disahkan meninggal dunia pada 7.26 petang, 20 Ogos lalu.

"Ketika itu, doktor mengesahkan isteri sudah bebas daripada Covid-19, dan kami sangat bersyukur kerana dapat menguruskan jenazah isteri seperti biasa dan anak-anak dapat mencium ibu mereka," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Rumah Rakyat Nilai, di sini.

Shahril bersama anak-anaknya membelai anak bongsunya. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Shahril bersama anak-anaknya membelai anak bongsunya. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Mohd Shahril mengakui mereka sekeluarga masih dalam sedih dengan kehilangan isteri, dan belum kuat menerima hakikat berkenaan.

"Anak bongsu kami yang dinamakan Nurhasmeyra sudah dibawa pulang 1 September lalu, namun tidak banyak keperluannya sempat dibeli kerana kami dikuarantinkan," katanya.

Menurutnya, arwah isterinya sempat membuat panggilan video untuk kali terakhir sebelum ditidurkan dan dia berpesan supaya menjaga anak-anak terutama lelaki tunggal yang sangat manja dengannya.

"Dia ada cakap, ada rasa takut jika berlaku macam arwah Siti Sarah dan itulah kenyataan yang perlu kami terima. Arwah pergi tanpa sempat melihat anak bongsu kami," katanya.

Terdahulu, dia menerima sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9),

Mohd Shahril berkata, ketika ini belum pasti bila akan kembali berniaga Char Kue Tiaw di gerainya selepas agak lama tidak berniaga akibat pandemik Covid-19.

"Saya perlu berniaga kembali kerana itulah punca pendapatan sebelum ini tetapi perlukan kekuatan kerana isteri tiada lagi bersama kami.

"Selain daripada NGO, PERKASIH N9, saya juga menerima kunjungan Pengerusi MCA Seremban yang menghulurkan sumbangan serta barangan dapur yang sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 5:27 PM