GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital awam di Negeri Sembilan terus mencatatkan penurunan dengan kadar sekitar 65.5 peratus iaitu keempat terendah dalam negara.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kadar penggunaan pusat kuarantin di Negeri Sembilan juga adalah paling rendah dengan penggunaan sebanyak 12.3 peratus daripada kapasiti.

Katanya, perkembangan yang baik itu adalah hasil vaksinasi yang tinggi dilaksanakan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

"Situasi ini menunjukkan perkembangan yang amat baik dalam usaha menyekat penularan pandemik Covid-19 dan menurunkan kadar jangkitan wabak di negeri ini.

"Sehingga semalam hampir 100 peratus atau 810,438 penduduk berusia 18 tahun ke atas di Negeri Sembilan menerima dos pertama vaksin.

"Manakala sebanyak 86.9 peratus atau 707,882 penduduk sudah melengkapkan kedua-dua dos vaksin," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam buat pertama kalinya Negeri Sembilan mencatatkan kadar jangkitan baharu Covid-19 di bawah 200 kes apabila merekodkan 198 kes berbanding pada 252 kes pada Jumaat lalu.

Aminuddin berkata, pihaknya berharap penduduk di Negeri Sembilan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin agar jumlah kes terus menurun.

"Sama-samalah kita berusaha agar Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang seterusnya akan melancarkan pemulihan ekonomi negeri," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 2,100 set bakul makanan sudah diagihkan kepada golongan sasaran di lapan daerah setakat ini menerusi program Bakul Makanan Harapan 2021.

"Bakul makanan ini bagi membantu meringankan beban keluarga yang terkesan dengan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 10:16 AM