Khairy Jamaluddin (tiga dari kiri) diiringi Chow Kon Yeow (kanan) ketika hadir membuat lawatan kerja di Hospital Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Khairy Jamaluddin (tiga dari kiri) diiringi Chow Kon Yeow (kanan) ketika hadir membuat lawatan kerja di Hospital Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebuah hospital medan akan dibina di perkarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, bagi menangani peningkatan bilangan kemasukan pesakit Covid-19 di negeri ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sehubungan itu 200 petugas barisan hadapan akan digerak ke negeri ini bagi mengurangkan beban petugas sedia ada.

"Hospital medan itu dijangka siap dalam tempoh seminggu dan boleh memuatkan lebih 100 katil dengan kemudahan lengkap.

"Kita juga akan gerakkan 200 kakitangan barisan hadapan tambahan terdiri daripada pegawai pembantu perubatan dan jururawat," katanya kepada media di sini, hari ini.

Khairy ditemui ketika mengadakan lawatan ke tapak hospital medan berkenaan di HPP bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Asmayani Khalib.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata KKM akan menyewa dewan pembedahan hospital swasta di Pulau Pinang bagi melakukan pembedahan kritikal bukan Covid-19 yang sepatutnya dilakukan di HPP tetapi terpaksa ditunda kerana memberi ruang kepada pembedahan pesakit Covid-19.

"Pada masa ini kapasiti bagi lakukan pembedahan agak terhad dan kita dapati bagi pembedahan kritikal hospital dan pakar hospital swasta enggan terima pembedahan pesakit berisiko tinggi.

"Namun pakar HPP sanggup laksanakannya di dewan pembedahan hospital swasta dan saya akan berunding (dengan hospital swasta).

"Jika mereka tidak mahu lakukan pembedahan berisiko tinggi ini, bilik berkenaan boleh disewa dan dijalankan pembedahan," katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 7:19 PM