Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-53 mencapai kata sepakat mengadakan komitmen kerjasama bagi mengukuhkan semula pertumbuhan ekonomi serantau dan kepentingan pemusatan akibat krisis Covid-19.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada mesyuarat secara maya bermula 8 hingga 9 September lalu, menekankan kepentingan pemusatan ASEAN.

Beliau turut menekankan keperluan untuk terus berusaha dalam mengatasi cabaran pandemik demi memastikan rantau ini lebih berdaya tahan.

Kata beliau, pelaksanaan semua inisiatif di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) perlu dipercepatkan untuk memacu pembukaan semula ekonomi dan merancakkan pemulihan serantau.

"AEM juga mengalu-alukan keputusan Hala Tuju Bandar Seri Begawan: Satu Transformasi Digital ASEAN untuk Mempercepatkan Pemulihan Ekonomi ASEAN dan Integrasi Ekonomi Digital (BSBR).

"Ia menawarkan rancangan bersasar untuk ASEAN membangunkan satu persekitaran yang membolehkan Ekonomi Digital ASEAN menjadi mantap dan memastikan rantau ini muncul lebih kuat akibat pandemik ini.

"Ini masa yang tepat menangani keperluan mendesak dan jangka pendek untuk transformasi digital rantau ini," katanya pada mesyuarat itu dalam kenyataan dikeluarkan Miti.

Kata beliau, faktor Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) adalah elemen penting dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2025.

Ia mendorong penciptaan nilai jangka panjang, mengintegrasikan perniagaan Malaysia ke dalam rangkaian antarabangsa dan menarik lebih banyak pelabur.

Beliau turut mengesyorkan konsep Karbon Berkecuali untuk ASEAN dan meneroka perbincangan pelaburan peluang dalam Ekonomi Hijau yang diterima baik oleh menteri serta disokong Pengerusi AEM Datuk Amin Liew Abdullah.

Pengerusi Sekretariat ASEAN Lim Jock Hoi, berminat bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan inisiatif ini dan meningkatkan komitmen ke arah kelestarian dan teknologi hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 3:31 PM