AHMAD Marzuk (kanan) menyantuni pengayuh beca, Che Udi Che Po (kiri) ketika Program YADIM Peduli: Musaadah YADIM-Bank Islam di Dataran Muhammadi. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
AHMAD Marzuk (kanan) menyantuni pengayuh beca, Che Udi Che Po (kiri) ketika Program YADIM Peduli: Musaadah YADIM-Bank Islam di Dataran Muhammadi. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menugaskan lebih 30 pegawai bagi memberi perkhidmatan kaunseling dan psikologi secara dalam talian kepada individu yang terkesan sepanjang pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, bantuan menerusi talian hotline MyCare Covid-19 Jakim yang diwujudkan itu untuk menangani isu kemurungan, kesihatan mental dan juga masalah kekeluargaan.

Katanya, pegawai berkenaan ditugaskan untuk menjawab panggilan daripada mana-mana individu yang memerlukan khidmat kaunseling bagi menyelesaikan masalah mereka.

"Bagaimanapun, sekiranya terdesak, mereka boleh ke Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) atau majlis agama negeri masing-masing yang sentiasa menyediakan ruang dan peluang untuk mendapatkan bantuan.

"Malaysia adalah sebuah negara yang sangat prihatin kepada rakyat dan jika hendak dibandingkan dengan negara-negara lain, kita membelanjakan sejumlah yang besar semata-mata untuk menjaga kebajikan rakyat.

"Apa yang paling penting, rakyat terbela dan ada makanan untuk dimakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada 25 pengayuh beca dalam Program Yadim Peduli: Musaadah Yadim-Bank Islam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Yadim Kelantan, Mahadi Awang.

Menurutnya, usaha kerajaan untuk membantu meringankan beban rakyat yang terkesan dianggap penting untuk memastikan tiada tekanan sehingga memaksa mereka bertindak di luar jangka termasuk membunuh diri.

"Biasanya bunuh diri ini tidak berlaku sekadar suka-suka,tetapi ia disebabkan adanya tekanan mental dan disebabkan itu Jakim mewujudkan talian hotline.

"Sesiapa sahaja boleh membuat panggilan di talian 03-88707519 atau 03-88707519 atau 03-88707527 bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Semalam, media melaporkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 638 kes bunuh diri berlaku di negara ini sejak Januari hingga Julai lalu iaitu peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 3:16 PM