FUNGSI terbaharu SEHAT berkaitan kesihatan. FOTO ihsan SVSB
FUNGSI terbaharu SEHAT berkaitan kesihatan. FOTO ihsan SVSB
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Selangkah Ventures Sdn Bhd (SVSB) memperkenalkan Selangor Mental Sihat (SEHAT) dalam aplikasi mudah alih Selangkah bagi menangani pelbagai isu kesihatan mental penduduk negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SVSB Tengku Iesta Tengku Alaudin berkata, dengan menggunakan ciri terbaharu hasil kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan WhatsDoc Sdn Bhd, SEHAT akan meningkatkan kesedaran dan literasi berhubung isu kesihatan mental dalam kalangan penggunanya.

"Program ini juga akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan awal menerusi modul saringan kendiri serta bantuan psikososial daripada kaunselor profesional dan forum sokongan.

"Ciri baharu ini melengkapi vertikal kesihatan Selangkah dan pengenalannya memang tepat pada waktunya iaitu di musim pandemik ini. Kesihatan mental kini dikenali oleh masyarakat dan kami ingin memainkan peranan dalam mengetengahkan isu yang serius ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Awam IIUM Dr Mohamad Farhan Rusli berkata, pendidikan dalam talian adalah satu cara efektif untuk mendidik orang ramai dan mengurangkan stigma iaitu menerusi perkongsian maklumat tepat berhaitan kesihatan mental.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Mental IIUM Dr Muhammad Adil Zainal Abidin memaklumkan promosi dan pendidikan kesihatan mental adalah langkah utama yang perlu diambil untuk mencegah kes baharu iaitu dengan memperkasakan masyarakat supaya mereka memahami maklumat yang tepat, melaksanakan saringan kendiri dan mendapatkan rawatan secepat mungkin.

Antara fungsi yang boleh diteroka pengguna adalah Ujian Saringan Kesihatan Mental; Saringan Risiko; Video Psikopendidikan; Portal WhatsDoc dan Skala Literasi Kesihatan Mental.

Pelaksanaan program SEHAT diterajui oleh sekumpulan pengamal kesihatan mental IIUM dan keputusan analisis psikologi mereka akan dirahsiakan. Ia hanya akan didedahkan kepada pakar kesihatan mental jika dan apabila pengguna itu sendiri yang memberi keizinan.

Aplikasi Selangkah kini boleh dimuat turun di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei App Gallery. Pengguna sedia ada dinasihatkan untuk kemaskini aplikasi ini bagi menikmati ciri SEHAT.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 1:51 PM