Ronald Kiandee (kanan) pada sidang media selepas mengumumkan kadar dividen skim pelaburan khas Peladang, Dana Peladang Kebangsaan 8 peratus bagi Tahun 2020 di Wisma Tani. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ronald Kiandee (kanan) pada sidang media selepas mengumumkan kadar dividen skim pelaburan khas Peladang, Dana Peladang Kebangsaan 8 peratus bagi Tahun 2020 di Wisma Tani. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Samadi Ahmad

Putrajaya: Kenaikan harga produk makanan haiwan ternakan perlu dikaji agar tidak membebankan pengusaha dan pengguna.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, walaupun isu kenaikan harga ayam bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun pihaknya bersetuju sekiranya ada keseimbangan antara kos pengeluaran produk makanan dan pengguna.

Menurutnya, satu kajian perlu diadakan bagi menangani kenaikan harga pada produk makanan haiwan ternakan terbabit.

Katanya, terdapat beberapa faktor logistik menyebabkan kenaikan harga ayam seperti komponen makanan, benih ayam dan sebagainya.

"Masalah kenaikan harga ayam ini membabitkan kepentingan semua pihak yang perlu diambil kira termasuk pengguna dan pihak industri," katanya ketika sidang media selepas majlis pengumuman Agihan Dana Peladang Kebangsaan 2020 di kementeriannya di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri I Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri II Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Ketua Setiausaha Mafi Datuk Haslina Abdul Hamid.

Ronald berkata, pihaknya mengambil maklum kenaikan harga ayam di pasaran membebankan pengguna.

Katanya, pada masa sama faktor yang mempengaruhi di peringkat ladang juga harus diambil oleh semua pihak.

"Pada masa ini harga dedak, soya dan jagung di pasaran dunia meningkat sehingga mempengaruhi harga jualan yang tinggi di negara ini menyebabkan kenaikan harga jualan ayam di pasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 6:04 PM