GAMBAR hiasan. PEKERJA di pusat kewangan Raffles Place, Ogos lalu. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. PEKERJA di pusat kewangan Raffles Place, Ogos lalu. FOTO AFP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kira-kira 30,000 pekerja Malaysia di Singapura yang tidak dapat pulang sejak hampir dua tahun lalu, mengharapkan sinar supaya sempadan antara dua negara dapat dibuka menjelang akhir tahun ini.

Mereka sudah mendapat vaksinasi lengkap di Singapura namun akibat kekangan kewangan, rela berkorban menahan kerinduan terhadap keluarga tercinta dan kekal bekerja di republik berkenaan sejak Mac 2020.

Pekerja Malaysia di Singapura, Yusman Yusof, 39, dari Taman Pelangi, di sini berkata, emosi kebanyakan pekerja Malaysia yang tidak dapat pulang berada di tahap paling rendah, berikutan kerinduan mendalam terhadap keluarga masing-masing yang sudah hampir dua tahun tidak ditemui.

Katanya, memang benar mereka memilih untuk terus berada di republik itu, namun ia dilakukan demi masa depan keluarga di Malaysia mendapatkan kehidupan lebih selesa.

"Saya sendiri terpisah dengan keluarga di Johor Bahru sejak 18 Mac tahun lalu. Ada segelintir masyarakat mengecam mengatakan kami mengada-ngada dan kalau terlalu rindu, berhenti sahaja kerja di Singapura dan pulang ke Malaysia.

"Sedangkan sekarang pun ramai rakan yang berhenti kerja di Singapura dan kembali ke Johor Bahru sukar mendapatkan pekerjaan sehingga wang simpanan semakin susut.

"Sebenarnya pendapatan gaji kami di Singapura bukanlah besar seperti sering dibayangkan orang lain. Dulu, kami dapat berjimat dan menghabiskan gaji di Malaysia untuk keluarga namun kini, gaji diterima dibahagi dua iaitu untuk keluarga selain untuk diri sendiri termasuk membayar sewa bilik, makanan bayaran autopass selain minyak motosikal, yang kosnya agak tinggi di sini.

"Kami juga tidak mampu menggunakan gelembung perjalanan diperkenal kerajaan termasuk Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) kerana perlu membayar kos kuarantin mahal apabila kembali ke Singapura. Lagi pula, majikan tidak membenarkan mengambil cuti terlalu panjang," katanya ketika dihubungi.

Pembukaan lebih banyak sektor ekonomi negara termasuk kelonggaran sekatan untuk penerima dua dos vaksin diumumkan kerajaan sejak bulan lalu, memberi sinar kepada puluhan ribu pekerja Malaysia di Singapura yang mengharapkan sempadan kedua negara dapat dibuka kepada penerima dua dos, menjelang akhir tahun ini.

Sementara itu, Shahruddin Haeal Helmy Mohd Noh, 35, atau lebih dikenali dengan nama Eddie Dieana dan bekerja di syarikat pengeluaran air minuman di Singapura berkata, semua pekerja Malaysia di Singapura sangat berharap pembukaan sempadan antara Malaysia dan Singapura menjadi kenyataan menjelang akhir tahun ini.

Katanya, apabila melihat data vaksinasi Malaysia yang terus meningkat pantas saban hari memberi sinar harapan kepada mereka.

"Ramai pekerja Malaysia di Singapura yang sudah putus harapan. Ada yang putus asa dan kembali ke Malaysia kerana terlalu tertekan dan rindukan keluarga.

"Sudah menjadi harapan kami pekerja Malaysia di Singapura supaya dengan kadar lengkap vaksinasi di Malaysia yang semakin meningkat, sempadan kedua negara dapat dibuka menjelang akhir tahun ini apabila lebih 80 peratus rakyat Malaysia sudah lengkap menerima vaksin nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 4:58 PM