JAMALUDIN A Hamid melawat PPV di Lembaga Hasil Dalam Negeri di Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
JAMALUDIN A Hamid melawat PPV di Lembaga Hasil Dalam Negeri di Kluang Johor. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Kira-kira 40,000 individu berusia 18 tahun ke atas yang layak mendapat vaksin di daerah ini dipelawa untuk melakukan' walk-in' di pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran kediaman masing-masing.

Pegawai Daerah Kluang merangkap Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) daerah Kluang, Jamaludin A Hamid berkata, pihaknya kini dalam misi mencari penduduk berkenaan kerana masih belum mendaftar di My Sejahtera bagi tujuan berkenaan.

"Kita berharap 40,000 daripada jumlah penduduk daerah yang berusia 18 tahun ke atas itu dapat bekerjasama bagi mencapai sasaran imuniti berkelompok 80 hingga 100 peratus menjelang bulan depan.

"Pelbagai faktor menyebabkan punca mereka tidak mendapat suntikan vaksin antaranya warga emas yang terlepas temujanji, pihak yang berada di atas pagar, anti vaksin, malah paling mengejutkan ramai dalam kalangan golongan muda yang celik internet sebenarnya tidak mendaftar di My Sejahtera.

"Bagi mengatasi masalah itu selain dari kempen hebahan awam dan media sosial kita juga mengerahkan sukarelawan untuk masuk ke kawasan pndalaman dan bandar bagi berkomunikasi dengan golongan ini mengenai kepentingan vaksin.

"Alhamdulillah dengan pendekatan ini kita berjaya mendaftarkan lebih ramai di My Sejahtera namun kita juga masih mencari baki kira-kira 40,000 penduduk yang layak ini untuk tampil mendaftar di My Sejahtera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Kluang Sharul Azmi Md Kamil.

Beliau berkata, lapan klinik kesihatan dan PPV di Dewan Muafakat Simpang Renggam sudah mula menerima 'walk-in' manakala terbaru di PPV LHDN.

"Mereka yang menghadapi masalah terlepas temujanji dan yang dihalang polis untuk merentas daerah atau negeri boleh menghubungi PPV berhampiran kediaman mereka bagi suntikan vaksin," katanya.

Menurutnya, ketika ini seramai 204,098 individu berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar di My Sejahtera dengan bilangan mendapat dos pertama berjumlah 189,969 orang dan seramai 139,924 sudah lengkap dua dos vaksin.

Katanya, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, penduduk di daerah ini berusia 18 tahun ke atas berjumlah 244,700 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 4:57 PM