Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membangunkan laman sesawang untuk perkongsian data terkini Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, laman sesawang itu boleh diakses bermula 6 petang hari ini menerusi https://covidnow.moh.gov.my.

Beliau berkata, menerusi laman web berkenaan juga orang ramai boleh mengakses data harian terkini akan tersedia selepas jam 12 malam ini.

Menurutnya, laman web ini akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses masyarakat umum.

LAMAN sesawang baharu CovidNow yang dibangunkan KKM. FOTO BERNAMA
LAMAN sesawang baharu CovidNow yang dibangunkan KKM. FOTO BERNAMA

"Usaha membangunkan laman ini mengambil masa beberapa bulan dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan yang bekerja keras membangunkannya.

"Saya berharap dengan data dan maklumat yang dikongsikan di GitHub dan Covidnow membolehkan masyarakat mempunyai pemahaman dan kesedaran yang lebih baik situasi jangkitan Covid-19 di dalam negara," katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Khairy berkata, masyarakat juga dapat menginterpretasi data yang dipaparkan di dalam laman web berkenaan.

Katanya, pakar kesihatan juga dialu-alukan untuk berkongsi pemahaman dan kajian mereka berdasarkan data di dalam laman web berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 6:27 PM