Yani dan isterinya, serta enam anak, seorang menantu berusia 25 hingga sembilan tahun dan seorang cucu berusia tiga bulan bebas daripada Covid-19 dan bergambar kenangan sebelum memotong gelang. FOTO IHSAN MOHD YANI
Yani dan isterinya, serta enam anak, seorang menantu berusia 25 hingga sembilan tahun dan seorang cucu berusia tiga bulan bebas daripada Covid-19 dan bergambar kenangan sebelum memotong gelang. FOTO IHSAN MOHD YANI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: "Alhamdulillah, kami akhirnya bebas daripada Covid-19 dan memotong gelang kuarantin, hari ini," kata Mohd Yani Deraman.

Mohd Yani, 55, dan isteri, Norazizah Bidin, 53, dan enam anak, seorang menantu dan cucu lelaki disahkan positif Covid-19 pada 26 Ogos lalu.

Menurutnya, mereka sekeluarga disahkan positif Covid-19 selepas isteri mempunyai kontak rapat kes di Pasar Wakaf Tapai.

"Bermula pada 26 Ogos lalu, kami menjalani kuarantin di rumah dan turut mengamalkan pelbagai petua bagi melawan penyakit itu.

"Alhamdulillah, walaupun disahkan positif, kami tidak bergejala teruk seperti hilang deria rasa dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, anak-anaknya termasuk menantu berusia sembilan hingga 25 tahun cuma mengalami demam, batuk dan hilang selera makan sahaja sepanjang tempoh kuarantin di rumah itu.

Katanya, paling membimbangkan apabila mengenangkan cucunya yang baru berusia tiga bulan turut positif Covid-19.

"Saya tidak dapat tidur lena kerana bimbangkan ahli keluarga, setiap masa akan pantau kesihatan mereka kerana bimbang berlaku masalah penafasan dan sebagainya.

"Pada masa sama, saya akan suruh anak-anak makan pelbagai jenis buah-buahan supaya antibodi dalam badan mereka meningkat untuk melawan penyakit itu," katanya.

Katanya, dia berharap orang ramai sentiasa mengamalkan perjarakan sosial dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 5:40 PM