RINA (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Suhaila Suladin (kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di Jalan Punai Kg Bukit Bangkong. FOTO Samadi Ahmad
RINA (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Suhaila Suladin (kanan) pada Majlis Penyampaian Sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di Jalan Punai Kg Bukit Bangkong. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Sepang: Mangsa gangguan seksual digesa segera melaporkan insiden dialami kepada pihak berkuasa tanpa perlu menunggu peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah gangguan seksual dikuatkuasakan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, RUU itu bukan membabitkan pindaan sebaliknya adalah RUU baharu yang mengambil masa untuk digubal.

Menurutnya, ia membabitkan banyak kementerian serta drafnya kini sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

"Sekiranya ada berlaku gangguan seksual, segera lapor kepada pihak berkuasa atau Talian Kasih 15999. Tak perlu tunggu RUU dibentangkan. Negara kita ada undang-undang," katanya selepas menyampaikan sumbangan dan Bakul Prihatin Negara di tiga buah rumah di sekitar Sungai Pelek, di sini, tadi.

Rina mengulas desakan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempercepatkan pembentangan RUU berkenaan, berikutan peningkatan kes gangguan seksual membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Katanya, kes gangguan seksual membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak semakin meningkat dan tiada langkah penyelesaian yang diberikan untuk menangani masalah itu.

"Ketika ini yang penting adalah kesedaran, komitmen dan kepekaan masyarakat terhadap isu ini sebelum RUU ini diluluskan.

"Negara mempunyai undang-undang Kanun keseksaan dan ia boleh digunakan membabitkan kesalahan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 5:15 PM