Seremban: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) mencatat kerugian bersih sebanyak RM1.2 juta tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata, setakat akhir Julai lalu, SAINS merekodkan hasil sebanyak RM166.4 juta yang merangkumi hasil air sebanyak RM159.3 juta dan lain-lain RM7.1 juta.
Katanya, bagaimanapun perbelanjaan keseluruhan bagi tempoh sama membabitkan jumlah sebanyak RM167.6 juta.
"Setakat akhir Julai lalu, pendapatan SAINS menyusut antara empat hingga lima peratus terutama hasil daripada akaun industri dan komersial selepas tidak beroperasi selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
"Manakala perbelanjaan yang terpaksa digunakan merangkumi kos sewa pajak aset air Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) sebanyak RM40.9 juta diikuti kos elektrik (RM38.9 juta), emolumen kakitangan (RM25.7 juta).
"Selain itu, pembaikan bekalan air dan loji-loji (RM17.3 juta), bahan kimia (RM7.6 juta) dan kos susut nilai aset (RM10.8 juta)," katanya pada Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14, di sini.
Aminuddin (PH-Sikamat) menjawab soalan Datuk Ismail Lasim (BN-Senaling) yang bertanyakan mengenai kedudukan kewangan SAINS.
Beliau yang juga Pengerusi SAINS berkata, kos perbelanjaan syarikat naik antara lima hingga tujuh peratus, namun kerajaan negeri masih mengekalkan tarif air sedia ada.
Katanya, SAINS sedang dan akan mengambil beberapa langkah penjimatan terutama dari segi kecekapan penggunaan elektrik di loji-loji di mana kos elektrik merangkumi 24 peratus dari keseluruhan kos operasi syarikat.
"SAINS juga dalam peringkat kajian pengguna solar panel di loji dan bangunan syarikat.
"Bagaimanapun, SAINS berhadapan kekangan kos bagi pembaikan paip dan aset kerana seperti sedia maklum, paip dan aset seperti loji di Negeri Sembilan telah berusia lebih daripada 50 tahun dan memerlukan kos yang tinggi untuk pembaikan secara berterusan," katanya.
Aminuddin berkata, sebagai langkah proaktif mengurangkan perbelanjaan itu, SAINS juga sedang mencari alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada kontraktror untuk pembaikan aset bekalan air ini.
"Selain itu, penyusunan jadual kerja kakitangan sentiasa dilakukan bagi memaksimumkan penggunaan tenaga kerja sedia ada dan mengurangkan tuntutan kerja lebih masa," katanya.
-tamat.
#kw, sidang dun negeri sembilan, pendapatan sains menyusut, kerugian bersih rm1.2 juta.
From: Md Amin Jalil