FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Kadar pengangguran di Johor menurun kepada 3.8 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding 4.6 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, sebanyak 67,800 penganggur dicatatkan pada suku kedua tahun ini, berbanding seramai 81,200 penganggur dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada awal tahun ini menyebabkan beberapa sektor industri, perniagaan dan juga perkhidmatan mengalami sekatan operasi.

"Ia seterusnya menyumbangkan kepada pengurangan penggunaan mahupun pengambilan pekerja di sektor-sektor terbabit.

"Namun Kadar Penyertaan Tenaga Buruh di negeri ini yang dicatatkan pada suku kedua tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.4 mata kepada 67.6 peratus, berbanding 67.2 peratus pada suku kedua 2020," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, hari ini.

Mohd Izhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata, usaha kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi pencapaian sektor pelaburan di Johor juga membuahkan pencapaian yang amat positif.

"Berdasarkan laporan oleh Invest Johor, setakat 1 September lalu, nilai kumulatif pelaburan yang berpotensi untuk dibawa masuk ke Johor pada tahun ini, dijangka mencecah nilai RM5.521 billion.

"Johor hanya menunggu masa untuk memeterai dokumen-dokumen perjanjian dan ini sudah tentu akan membawa sinar kepada negeri ini," katanya.

Beliau berkata, Johor berjaya menerima pelaburan masuk keseluruhan bernilai RM1.7 bilion setakat Mac tahun ini.

"Daripada jumlah itu nilai pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk ke Johor adalah sebanyak RM 36.9 juta, manakala bagi jumlah nilai pelaburan tempatan/domestik yang berjaya diterima adalah sebanyak RM1.33 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 1:11 PM