BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 68.8 peratus atau 16,107,712 individu daripada populasi dewasa di negara ini melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).

JKJAV menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, memaklumkan 313,751 dos vaksin Covid-19 membabitkan 132,640 dos pertama dan 181,111 dos lengkap diberikan semalam, menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Sebanyak 20,677,827 individu atau 88.3 peratus populasi dewasa Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat Isnin," demikian menurut JKJAV.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:57 AM