Balqis Jazimah Zahari


Gopeng: Selepas operasi pencarian sejak malam tadi, mayat kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia 6 tahun yang dilaporkan hilang di rumahnya di Lorong Jaya, Taman Kinta Baru di sini, ditemukan terapung di tepi lombong berdekatan rumah, 9.45 pagi, hari ini

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mayat mangsa ditemukan pasukan operasi mencari dari Balai Gopeng.

"Pasukan operasi mencari dari Balai Gopeng berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung di tepi sebuah lombong dalam jarak 80 meter dari rumah keluarga mangsa.

"Mayat mangsa dibawa naik oleh pihak Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dan pemeriksaan awal pada fizikal mangsa dibuat dan didapati tiada elemen 'foul play' dan pengecaman mayat dibuat oleh keluarga mangsa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar bagi tujuan bedah siasat.

"Siasatan diteruskan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM)," katanya.

Sebelum ini NSTP melaporkan Kanak-kanak lelaki orang kurang upaya (OKU) berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di rumahnya di sini, semalam, kali terakhir memakai baju-T BoBoiBoy berwarna hijau dan memakai lampin pakai buang.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 11:25 AM