GAMBAR terakhir Goh Seng Jun yang menghantar kuih kepada Surau At-Taufiq sebagai juadah berbuka puasa sebelum meninggal dunia dalam kemalangan, semalam. FOTO Ihsan pembaca
GAMBAR terakhir Goh Seng Jun yang menghantar kuih kepada Surau At-Taufiq sebagai juadah berbuka puasa sebelum meninggal dunia dalam kemalangan, semalam. FOTO Ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Mendiang Goh Seng Jun, kanak-kanak berusia 12 tahun yang maut dilanggar lori di simpang tiga hadapan Kuarters Ladang Air Manis Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor, semalam, disifatkan seorang yang ringan tulang dan membantu komuniti Taman Air Manis hingga akhir hayat.

Ibu mendiang, Sio Siew Ying, 31, berkata, anak bongsu dari dua beradik yang mesra dipanggil Aboy suka membantu orang lain tanpa mengira bangsa dan umur hingga kebaikannya sering disebut-sebut.

"Semua penduduk di taman perumahan ini kenal Aboy. Apa sahaja program yang diadakan, dia akan hadir secara sukarela selain disayangi kerana sikapnya yang ceria dan peramah.

"Apabila Aboy meninggal dunia, ramai (penduduk) sukar menerima kenyataan kerana rata-rata sudah menganggap dia anak mereka sendiri," katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu, Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh menziarahi Sio sekeluarga di rumahnya, hari ini.

Sio berkata, ketika kejadian dia yang berkerja sebagai juruwang di stesen minyak di Tebuk Pulai menerima panggilan berhubung kejadian menyayat hati itu pada 3.14 petang.

"Seorang rakan menghubungi saya memaklumkan Aboy terbabit kemalangan. Pada mulanya saya ingatkan dia hanya patah kaki atau tangan sahaja.

"Apabila tiba di lokasi, saya dapati Aboy tidak sedarkan diri. Saya berulang kali memanggil namanya tetapi tidak berjawab," katanya yang menaiki ambulans bersama mendiang ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

ZULKIFLI (kanan) menziarahi ibu bapa kanak-kanak lelaki yang maut kemalangan, Sio Siew Ying (kiri) dan Goh Cheng Boon (tengah) di rumah mereka di Taman Air Manis. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ZULKIFLI (kanan) menziarahi ibu bapa kanak-kanak lelaki yang maut kemalangan, Sio Siew Ying (kiri) dan Goh Cheng Boon (tengah) di rumah mereka di Taman Air Manis. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Katanya, kehilangan mendiang memberi hebat kepada keluarga khususnya kepada ibunya yang sehingga hari ini tidak percaya mendiang meninggal dunia.

"Ibu menjaga Aboy sejak dari kecil ketika saya dan suami keluar bekerja. Apabila Aboy sudah tiada, pemergiannya membuatkan ibu hilang kata-kata yang sebelum ini rapat dengan cucunya itu.

"Ketika ini, kami masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 mendiang. Harap semuanya berjalan lancar," katanya.

Zulkifli pula memaklumkan, mendiang ibarat ikon perpaduan yang memberi kesan mendalam kepada penduduk Taman Air Manis serta tidak pernah mendatangkan sebarang masalah.

"Semua penduduk mengenali Aboy. Mereka terkejut dan seperti tidak percaya mendiang sudah meninggal dunia.

"Aboy gemar menolong penduduk tidak mengira siapa pun. Tahun lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hadir ke surau kami iaitu Surau At-Taufiq untuk membersihkan kawasan sekitar.

"Dia juga menghantar kuih ke surau untuk juadah berbuka puasa. Kehilangannya amat dirasai," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai keluar simpang secara mengejut sebelum dia dilanggar.

Bagaimanapun katanya, mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di HTAJ Sabak Bernam.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 6:04 PM