FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memulakan semula operasi kaunternya di seluruh negara pada hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, semua kaunter JPJ di seluruh negara beroperasi dengan kapasiti 100 peratus secara terus tanpa janji temu.

Beliau yang melakukan kunjungan ke JPJ Kuala Lumpur hari ini berpuas hati terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan.

"Saya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP ketat di sini sebagai usaha mengekang penularan Covid-19 dan dalam masa sama meneruskan perkhidmatan untuk orang ramai.

"Ketika berinteraksi dengan orang ramai dalam lawatan ini, saya juga menerima pelbagai cadangan daripada mereka antaranya menambah kaunter bergerak (JPJ mobil) kerana ia dilihat lebih memudahkan orang ramai untuk berurusan secara pandu lalu.

"Ia juga membolehkan orang ramai yang belum lengkap vaksinasi untuk meneruskan urusan mereka, berbanding jika berurusan di kaunter yang diwajibkan lengkap vaksinasi," katanya dalam kenyataannya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) bagi semua urusan di kaunter JPJ.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh berurusan secara dalam talian melalui portal MySikap, Myeg, Puspakom dan Pos Malaysia Berhad bagi urusan berkaitan.

Menurutnya, kaunter berkelompok turut disediakan kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 September 2021 @ 5:34 PM