Pemandu sukarelawan Medic Iltizam Ambulans,Faizal Yahya (kiri) menunjukkan antara kelengkapan peralatan kegunaan pesakit dalam kenderaan ambulans. FOTO AHMAD ISMAIL
Pemandu sukarelawan Medic Iltizam Ambulans,Faizal Yahya (kiri) menunjukkan antara kelengkapan peralatan kegunaan pesakit dalam kenderaan ambulans. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail.

[email protected].

Segamat: "Walaupun cuba diupah RM10,000 bagi sekali penghantaran sebuah keluarga melakukan rentas empat negeri untuk pulang ke kampung mentuanya, saya menolak kerana etika kerja lebih bernilai," kata pengendali sukarelawan Medic Iltizam Ambulans, Fairuz Yahya.

Fairuz, 50, yang menetap di Kampung Jawa, di sini, berkata, dia tidak gelap mata walaupun ambulans dimilikinya itu kini hampir tamat tempoh untuk pelupusan dan memerlukan wang untuk penggantian.

Menurutnya, dalam kejadian beberapa bulan lalu, seorang lelaki berusia 40-an datang ke rumahnya untuk khidmat ambulans membawa isteri serta tiga anaknya ke utara tanah air.

"Amanah selaku pengendali ambulans swasta selama lima tahun bersama abang saya, Faizal, 53, sebagai pemandu ambulans tetap diutamakan dan tugas kami untuk membawa pesakit sahaja.

"Saya tidak mengetahui latar belakang lelaki itu yang memakai topi keledar selain penutup hidung dan mulut serta meletakkan motosikalnya agak jauh, mungkin bimbang saya mengecam nombor platnya.

"Lelaki itu turut mengajar saya supaya meletakkan bantal besar di bahagian perut isterinya seolah-olah sedang sarat mengandung bagi melepasi Sekatan Jalan Raya (SJR).

"Pada masa sama, lelaki itu sanggup menyewa pakaian seragam sukarelawan Medic Iltizam Ambulans sebanyak RM500 untuk dipakainya bertujuan penyamaran, tetapi saya menolak permintaannya" kata bapa kepada anak itu ketika ditemui hari ini.

Difahamkan, polis turut mendedahkan taktik menggunakan khidmat ambulans swasta bagi merentas negeri untuk pulang ke kampung gagal dan menahan beberapa individu di SJR.

Fairuz berkata, dia percaya nilai akhlak tinggi akan kekal dirahmati Allah selain tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit tidak berkemampuan.

"Sejak 2017, saya dan abang memberikan khidmat kepada 700 pesakit di sekitar Segamat, Johor Bahru, Selangor selain negeri pantai timur dan utara tanah air.

"Memiliki ambulans walaupun agak usang kini adalah satu 'anugerah' ternilai bagi saya, dan berharap membantu keluarga dan abang serta menjadi asbab kesempurnaan di akhirat kelak," katanya.

Menurutnya, kini mereka sedang mencari pihak yang sanggup menaja dana pembelian ambulans sesuai untuk kegunaannya, bagi mengelakkan kenderaan sedia ada mengalami kerosakan ketika menghantar pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 5:11 PM