MUHYIDDIN Yassin.
MUHYIDDIN Yassin.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pelantikan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

"Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

"Saya juga menjunjung kasih kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang memperkenankan pelantikan saya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga berbesar hati menerima pelantikan ini dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

"Kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan ini adalah suatu amanah untuk saya meneruskan segala usaha dan perancangan yang dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak Covid-19.

"Saya dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Perdana Menteri dan kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan seperti yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Muhyiddin berkata, ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan Covid-19 yang akan memasuki fasa endemik.

"Insya Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dilapor berkata, pelantikan berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Berita berkaitan:

  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 September 2021 @ 8:02 PM