RAIS diiringi Azam (kanan) semasa hadir ke wawancara Khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. FOTO Bernama
RAIS diiringi Azam (kanan) semasa hadir ke wawancara Khas di Ibu Pejabat SPRM hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Putrajaya: Cadangan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan di bawah Parlimen sedang diteliti, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Tan Sri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata, cadangan itu diberi pertimbangan khusus oleh JKMR kerana ia dapat meningkatkan lagi tahap kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap SPRM.

"Saya terdorong untuk membantu supaya SPRM diletakkan di bawah Parlimen, kita akan beri pertimbangan khusus untuk zahirkan objektif ini.

"Ini kerana jika SPRM terlalu terdedah dengan kuasa dan pengaruh eksekutif atau pihak yang tidak berkaitan dengan integriti, lama kelamaan SPRM akan terpengaruh dengan politik dan pengaruh luar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Turut hadir secara maya pada sesi taklimat itu adalah ahli-ahli JKMR dan pengurusan tertinggi SPRM.

Rais, yang juga Yang Dipertua Dewan Negara berkata, cadangan SPRM diletakkan di bawah Parlimen itu juga akan diperincikan dalam sudut perlembagaan sebelum dibawa ke peringkat seterusnya.

"Saya bagi pihak (JKMR) akan mendalami cadangan ini dan sampaikan kepada kerajaan dalam bentuk nasihat yang jelas dari sudut perlembagaan Malaysia, sudut amali integriti dan sudut bagaimana ia akan tingkatkan pencapaian tangani rasuah di tanah air," katanya.

Pada 6 Mac tahun lalu, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilapor berkata, SPRM perlu diletakkan di bawah kuasa Parlimen bagi memastikan agensi itu benar-benar bebas dan dilihat tidak dipengaruhi oleh politik.

JKMR diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan ia bertanggungjawab untuk menasihati perdana menteri mengenai apa-apa aspek masalah rasuah di Malaysia dan memeriksa laporan tahunan SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 6:55 PM