FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) yang melebihi 100 peratus di Sabah.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan pada minggu hadapan bagi mengatasi perkara ini.

"Kita akan melakukam sesuatu untuk mengatasi perkara ini. Saya dimaklumkan Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin akan melawat Sabah pada hari Isnin hadapan.

"Kita akan mengadakan mesyuarat. Saya akan berjumpa dengan beliau (Khairy) dan kita akan cari jalan untuk mengatasi masalah ini.

"Walau bagaimanapun, apa yang penting saya ingin mengingatkan rakyat agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan jangan hadiri majlis keramaian kerana jumlah kes di Sabah semakin meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Skybridge, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Dilantik) Datuk Yong Teck Lee dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Noorliza Awang Alip.

Dalam pada itu, Hajiji ketika ditanya mengenai kesediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan hospital medan dan pasukan vaksinasi ke lima negeri dengan kes penularan Covid-19 yang tinggi termasuk Sabah, beliau berkata pihaknya menyambut baik berita itu.

Menurutnya, usaha dan bantuan ATM terutamanya kemudahan hospital medan amat membantu kerajaan negeri sekiranya hospital kerajaan tidak mencukupi menampung jumlah pesakit yang ramai.

"Ini agak baik kerana ia juga membantu kerajaan negeri mengatasi kesesakan di hospital kerajaan," katanya.

Semalam, media melaporkan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan kesediaan ATM menggerakkan aset, kepakaran serta kepimpinan ATM berikutan kenyataan Khairy selaku Menteri Kesihatan berhubung situasi jangkitan di lima negeri iaitu Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga negeri iaitu Sabah, Kedah dan Perak merekodkan penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

Sabah mempunyai kapasiti 145 katil ICU dengan penggunaannya, 126 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 2:32 PM