Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Hasrat Abdullah Morad, mangsa yang terselamat dalam tragedi kepala air di Titi Hayun, Yan, pada 18 Ogos lalu untuk bertemu dengan pasukan khas bomba yang menyelamatkan nyawanya akhirnya termakbul, hari ini.

Malah, Abdullah, 58, terharu apabila Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon dan Timbalannya, Syu'faat Kamaron menziarahinya di rumahnya di Jalan Putra.

Hadir sama, pasukan Multi Skill (Must Team) dari JBPM Kedah diketuai Mohd Jamil Mat Daud, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar serta Presiden Persatuan Sukan Mendaki Negeri Kedah (HACCK), Nazrilazdin Jamaludin.

Keadaan kesihatan Abdullah semakin baik selepas hampir 15 hari tragedi itu yang mengorbankan abang kandungnya, Zainol Morad, 66, serta tiga individu lain yang dihanyutkan air deras dalam kejadian 4.30 petang 18 Ogos lalu.

Menantunya, Muhammad Muaz Mohd Idris, 31, berkata, keadaan Abdullah beransur pulih, namun masih trauma dengan kejadian berkenaan.

Menurutnya, buat masa ini, bapa mentuanya tidak boleh bersendirian dan perlu ditemani ahli keluarga kerana terkenangkan arwah abang sulungnya yang terkorban dalam kejadian itu.

"Bila hujan saja, nampak air mata abah bergenang mungkin dia teringat kejadian itu, tapi kami sekeluarga akan sentiasa menemaninya ketika ini.

"Malah semangat abah menghadapi ujian ketika kejadian kepala air itu memberi kekuatan kepadanya untuk terus pulih," katanya ketika ditemui, hari ini.

Pada masa sama, Muhammad Muaz sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari bapa mentua dan bapa saudaranya itu.

Sementara itu, Sayani berkata, dalam pertemuan itu, mereka dapat mengetahui sedikit sebanyak kisah Abdullah yang terperangkap selama enam jam sebelum diselamatkan bomba.

Katanya, beliau kagum dengan Abdullah yang pernah berkhidmat 11 tahun dalam bomba sejak 1984 hingga 1995 kerana menggunakan pengalaman dan kemahiran dipelajarinya dulu untuk menyelamatkan diri.

"Ini membakar semangat kepada anggota dan pegawai saya sekarang untuk memberi perkhidmatan lebih baik.

"Alhamdulillah, dia tidak cedera serius cuma luka akibat terkena batu dan kayu ketika dihanyutkan air deras," katanya.

Sayani berkata, JBPM Kedah bercadang menyampaikan sijil penghargaan kepada 300 anggota dan pegawai bomba yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) dalam tragedi berkenaan.

Beliau berkata, ia termasuk malim gunung dan HACCK serta anggota bomba dari negeri lain yang turut serta dalam operasi itu.

"Sekiranya majlis dibenarkan diadakan selepas Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami akan sampaikan sijil berkenaan pada majlis itu, tapi kalau tidak, kami akan usahakan cara lain.

"Kejadian kepala air ini banyak memberi pengajaran dan pelajaran kepada kami dalam menghadapi tugas penyelamatan membabitkan bencana besar seperti ini," katanya.

Dalam kejadian pada 4.30 petang 18 Ogos lalu itu, enam mangsa ditemui lemas manakala seorang terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 5:12 PM
Sayani Saidon (kiri) menziarahi mangsa terselamat dalam tragedi kepala air di Titi Hayun, Abdullah Morad, 58, yang berkerusi roda di rumahnya di Jalan Putra. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Sayani Saidon (kiri) menziarahi mangsa terselamat dalam tragedi kepala air di Titi Hayun, Abdullah Morad, 58, yang berkerusi roda di rumahnya di Jalan Putra. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI