Solihan ketika merasmikan Program Kongsi Kerja Cabutan Undi Secara Maya Bagi Kerja Penyelenggaraan Jalan Seluruh Johor, di Dewan JKR Muar, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Solihan ketika merasmikan Program Kongsi Kerja Cabutan Undi Secara Maya Bagi Kerja Penyelenggaraan Jalan Seluruh Johor, di Dewan JKR Muar, hari ini. Foto Essa Abu Yamin
Oleh Essa Abu Yamin


Muar: Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM222 juta bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya serta jambatan di seluruh negeri melalui Projek Pembangunan Rancangan Johor 5 Tahun (RJ5T).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohd Solihan Badri berkata, sebahagian kerja pembinaan sudah bermula sejak tahun ini membabitkan jalan negeri sepanjang 40 kilometer serta tiga jambatan.

"Perkara berkenaan termasuk cadangan membina Jalan Pintas Pekan Nenas ke Jalan Gelang Patah - Ulu Choh, cadangan memperelok selekoh bahaya di Jalan Muar - Labis serta cadangan menaik taraf Persimpangan Jalan Tan Swee Hoe/Jalan Parit Besar di Batu Pahat.

"Kerajaan negeri juga melaksanakan cadangan menggantikan pembetung kekotak di Jalan Batu Pahat - Mersing dan cadangan membina jalan alternatif dari Jalan Meta ke Jalan Sekakap, Mersing.

"Bagi meningkatkan infrastruktur dan prasarana negeri Johor, sebanyak RM53.4 juta diperuntukkan kerajaan negeri tahun ini di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai usaha mempergiatkan lagi keseluruhan projek berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Progam Kongsi Kerja Cabutan Undi Secara Maya Bagi Kerja Penyelenggaraan Jalan Seluruh Johor di Dewan JKR Muar, hari ini.

Menurut Mohd Solihan, pelaksanaan Program Kongsi Kerja juga adalah satu inisiatif strategik dilaksanakan bagi membuka peluang kontraktor Johor terbabit dalam penyelenggaraan jalan di Johor.

"Untuk fasa ketiga program ini, anggaran peruntukan sebanyak RM5.2 juta serta 40 pakej turut dibekalkan untuk kerja penyelenggaraan jalan negeri membabitkan daerah Batu Pahat, Kluang, Segamat, Tangkak dan Muar pada hari ini.

"Pelaksanaan projek mega ini secara tidak langsung memberikan manfaat kepada ribuan pengguna jalan raya selain menghasilkan peluang pekerjaan yang mampu meningkatkan ekonomi rakyat negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 2:40 PM